KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di sini hari ini menolak saman pemula yang difailkan oleh empat aktivis haiwan berhubung kematian seekor anjing liar yang diberi nama ‘Kopi’.
Pesuruhjaya Kehakiman Yusrin Faidz Yusoff memutuskan demikian tanpa kos terhadap saman pemula yang difailkan Dr. Kartini Farah Abd. Rahim, S. Mukunnan, Hong Hai San dan S. Shashi Kumar.
Pada 10 Disember 2024, empat aktivis, Dr Kartini Farah Abdul Rahim, S. Mukunnan, Hong Hai San dan Pengerusi Persatuan Penjagaan Anjing dan Kucing Liar, S. Shashi Kumar selaku plaintif memfailkan saman pemula itu dengan menamakan Majlis Daerah Besut (MDB) dan Kerajaan Negeri Terengganu selaku defendan.
Selain Adam Luqman, turut mewakili MDB ialah Mohammad Zaid Daud dan Mohd. Munzeer Zainul Abidin manakala Kerajaan Negeri Terengganu diwakili Peguam Persekutuan, Zulfazliah Mahmud. Keempat-empat aktivis itu diwakili peguam Harvinpal Kaur.
Menurut Adam Luqman, mahkamah menyatakan bahawa semua plaintif tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan saman pemula itu memandangkan mereka bukan penduduk Besut dan mempunyai kepentingan dalam isu yang menjadi pertikaian.
Mahkamah turut menyatakan relief berbentuk deklarasi yang memohon agar tindakan MDB menembak Kopi adalah bertentangan dengan Seksyen 29(1)(e) dan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015 (AWA 2015) merupakan satu cubaan untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah melalui tindakan sivil.
“Mahkamah bersetuju dengan hujahan kami bahawa relif-relif ini pada hakikatnya akan menentukan liabiliti jenayah melalui prosiding sivil, sekali gus melanggar Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan berhubung pengasingan kuasa dan memintas kuasa Pendakwa Raya atau Peguam Negara untuk mendakwa,” jelas peguam itu.
Peguam turut memaklumkan bahawa mahkamah dalam keputusan hari ini turut menyatakan bahawa Seksyen 30 AWA 2015 jelas menunjukkan bahawa penggunakan senjata api bagi tujuan kawalan populasi haiwan adalah dibenarkan.
Adam Luqman turut memberitahu bahawa mahkamah memutuskan tindakan yang diambil oleh MDB adalah sejajar dengan peruntukan Seksyen 9(1) dan (2) Undang-Undang Kecil Lesen Anjing (Majlis Daerah Besut) 1990.
Selain itu, mahkamah juga mendapati bahawa Kerajaan Negeri Terengganu tidak bertanggungan secara vikarius (vicariously liable) terhadap keadaan dalam kes ini.
Anjing liar itu, Kopi yang pernah tular pada Mac 2025 selepas videonya bermain dengan anak kucing terbiar, di sebuah taman perumahan di Terengganu dan kemudiannya telah ditemui mati dipercayai ditembak.
Akaun Facebook My Forever Doggo (MFD) berkongsi video berdurasi 52 saat yang memaparkan anjing liar itu mati akibat kecederaan serius dan disedari seorang penduduk di taman perumahan itu selepas terdengar bunyi tembakan kuat.
Pada 13 Oktober 2024, Yang Dipertua MDB, Mohd. Sukeri Ibrahim dilaporkan berkata tindakan melupus seekor anjing liar yang dikenali sebagai ‘Kopi’ oleh MDB seperti yang tular di media sosial sejak awal bulan ini adalah mengikut prosedur dan menafikan dakwaan anjing itu dibiarkan oleh petugas setelah mati. – UTUSAN










