Cuaca Sabah diramal lembap dalam tempoh lima hari lagi

Cuaca Sabah diramal lembap dalam tempoh lima hari lagi

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Negeri Sabah dijangka terus mengalami corak cuaca lembap dalam tempoh lima hari akan datang, menurut ramalan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, berdasarkan analisis model cuaca terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), negeri ini dijangka menerima pengaruh angin timuran dan baratan yang lemah. 

“Keadaan itu meningkatkan kelembapan atmosfera dan berpotensi menyebabkan hujan serta ribut petir di beberapa kawasan.

“Bagi kawasan Pantai Barat, hujan dijangka berlaku di perairan Sabah pada sebelah pagi, manakala pada sebelah petang hingga malam hujan dan ribut petir berpotensi berlaku di beberapa tempat. 

“Di kawasan pedalaman, hujan dijangka berlaku pada sebelah pagi di awal dan akhir tempoh ramalan, manakala hujan dan ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang dan malam. Di bahagian Sandakan, Tawau dan Kudat, hujan di beberapa tempat dijangka berlaku pada waktu pagi, diikuti hujan dan ribut petir pada sebelah petang dan malam,” katanya dalam kenyataan semalam.

Arthur berkata MET Malaysia diarahkan menyalurkan maklumat dan amaran cuaca secara agresif dan tepat pada waktunya. Beliau menekankan kepentingan rakyat Sabah mendapat data ramalan terkini bagi menguruskan risiko bencana akibat cuaca lembap secara berkesan.

“Saya menyeru seluruh rakyat Sabah untuk sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca mengejut, terutamanya pada waktu petang dan malam. Dapatkan maklumat terkini melalui aplikasi myCuaca, portal www.met.gov.my, atau media sosial MET Malaysia bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga sentiasa terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×