Dua juta graduan bekerja tidak setanding kelayakan - Utusan Malaysia

Dua juta graduan bekerja tidak setanding kelayakan

MALAYSIA tidak boleh sekadar menghasilkan ramai graduan tanpa dilengkapi pelbagai kemahiran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira dua juta graduan pada masa ini bekerja dalam sektor pekerjaan yang tidak setanding dengan kelayakan akademik mereka termasuk memperoleh gaji tidak setimpal dengan kelulusan.

Pada 2024, sekitar 232,000 graduan baharu dihasilkan berbanding hanya 127,000 pekerjaan baharu yang wujud.

Bagaimanapun, hanya 34,000 daripada pekerjaan baharu itu memerlukan tenaga kerja berkelayakan tertiari atau pekerja mahir.

Dalam pada itu, kemunculan kecerdasan buatan (AI) turut meri­sikokan pekerjaan kolar putih dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Kebanyakan tugasan akan diautomasi sepenuhnya oleh AI, mengikut ramalan Ketua Pegawai Eksekutif AI Microsoft, Mustafa Suleyman.

Kesannya dapat dilihat dalam bidang kejuruteraan perisian apabila profesional kini menggunakan pembantu pengekodan berasaskan AI.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, wujud kebimbangan sejauh mana kursus pengajian di universiti masih relevan untuk pasaran kerja graduan.

NOOR AZLAN GHAZALI

Katanya, pada masa ini, sekitar dua juta graduan bekerja dalam sektor pekerjaan yang tidak setanding dengan kelayakan akademik termasuk memperoleh gaji tidak setimpal.

Katanya, setiap universiti perlu membentuk pasukan petugas khas terdiri daripada kalangan ahli akademik dan pakar industri pelbagai bidang khususnya AI untuk mengkaji kesesuaian pengajian berdasarkan penawaran dan permintaan pasaran kerja.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) perlu memastikan program-program pengajian dan latihan yang ditawarkan termasuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), di universiti dan institusi latihan perlu meme­nuhi keperluan pekerjaan di masa akan datang.

“Kesuma harus melihat secara makro daripada segi keperluan permintaan dan penawaran. KPT juga sama, harus mula menerapkan program-program pendidikan yang menepati keperluan.

“KPT sebenarnya telahpun mengenal pasti isu ini apabila memperkenalkan fakulti AI dan juga salah satu daripada agenda reformasi top-down KPT 2025 ialah semua program-program di institusi pendidikan tinggi (IPT), khususnya IPT awam, mesti menerapkan kemahiran ataupun kursus-kursus yang membina kemahiran AI,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, isu ketidakpadanan bakat kini menjadi cabaran serius buat negara apabila seramai 1.96 juta rakyat Malaysia dilaporkan berada dalam kategori guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran.

Sebanyak RM5 juta diperuntukkan Kesuma melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memperkasa kebolehpasaran graduan.

Noor Azlan berkata, Malaysia tidak boleh sekadar menghasilkan ramai graduan tanpa dilengkapi pelbagai kemahiran.

“Mesti ada pelaporan yang jelas, mesti ada pengesahan bahawa kursus-kursus yang baharu ini diperkenalkan untuk semua program. Bukan sahaja program-program sains teknologi, malah program-program sains sosial termasuk perniagaan, bahasa, fakulti pengajian Islam dan undang-undang,” katanya.

Katanya, semua pihak ber­kepentingan perlu mengenal pasti cabaran kemunculan AI dan memastikan perubahan yang berlaku bagi menepati keperluan industri.

“Di pihak Kementerian Pe­laburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pula perlu mengenal pasti permintaan industri, perlu ada peningkatan dalam permintaan tenaga kerja yang berkelulusan tertiari ataupun pekerja mahir.

“Itu sebenarnya memang ada dalam Pelan Induk Perindustrian Kebangsaan 2030 (NIMP 2030). Cumanya data tidak menggambarkan keadaan itu berlaku,” katanya.

Laporan Tenaga Buruh Suku Keempat 2025 menunjukkan realiti membimbangkan meskipun kadar pengangguran negara kini stabil pada paras 2.9 peratus.

Walaupun kadar pengangguran stabil, kebimbangan timbul berkaitan struktur pasaran buruh, kualiti pekerjaan dan keperluan intervensi strategik Kesuma untuk memperkukuh pasaran.

Setakat Ogos 2025, jumlah rakyat Malaysia yang bekerja sendiri termasuk pekerja ekonomi gig seperti pemandu e-hai­ling dan penghantar p-hailing, mencecah 3.22 juta orang.

Malah sebahagian besar pe­kerja gig merupakan para gra­duan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×