PETALING JAYA: Solarvest Holdings Berhad (Solarvest) catat keuntungan bersih RM21 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2026, melonjak 45.8 peratus daripada RM14.4 juta pada suku sama tahun lalu.
Prestasi kukuh ini terutamanya didorong oleh projek skala utiliti, disokong oleh pelaksanaan projek solar berskala besar (LSS) dan penerusan pelaksanaan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).
Selain itu, margin keuntungan bersih kekal stabil pada 11.6 peratus pada suku itu berbanding 10.6 peratus pada tempoh sama tahun sebelum.
Kumpulan turut merekodkan pendapatan berjumlah RM181.2 juta, meningkat 33.8 peratus daripada RM135.4 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Margin keuntungan kasar meningkat kepada RM52.2 juta atau 28.8 peratus pada suku itu daripada RM37.5 (27.7 peratus) bagi tempoh sama tahun sebelum setahun.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Datuk Davis Chong Chun Shiong berkata, kumpulan mencatatkan rekod tertinggi baharu bagi buku pesanan segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyampaian (EPCC) belum ditagih berjumlah RM1.5 bilion.
“Ia akan diiktiraf secara berperingkat sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 hingga 2028.
“Kumpulan terus mencatat trajektori pertumbuhan positif, disokong oleh pelaksanaan projek-projek semasa secara tepat pada masanya serta rangka peluang yang sihat.
“Melangkah ke hadapan, agenda tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia terus mendapat momentum kukuh dengan tenaga solar dijangka memainkan peranan penting mencapai sasaran negara iaitu 70 peratus peratus campuran RE menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan.
Bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, keuntungan bersih meningkat kepada RM55.6 juta, naik 77.1 peratus daripada RM31.4 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan keuntungan bersih itu terutamanya disokong oleh sumbangan lebih kukuh di semua segmen, berserta peningkatan perkongsian keuntungan daripada syarikat sekutu.
Margin keuntungan bersih meningkat kepada 11.4 peratus pada tempoh itu berbanding 10.1 peratus pada tempoh sama tahun sebelum.
Dalam pada itu, kumpulan turut merekodkan pendapatan tertinggi pernah dicapai iaitu RM488.4 juta, meningkat 56.5 peratus bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 daripada RM312 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Margin keuntungan kasar yang sihat pula kekal pada RM140.6 juta atau 28.8 peratus berbanding RM92.7 juta tempoh sama tahun sebelum.
Segmen segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyampaian (EPCC) terus menjadi penyumbang utama pendapatan kumpulan, menjana RM427.2 juta atau 87.5 peratus daripada jumlah pendapatan.
Segmen penjanaan tenaga boleh diperbaharui juga mencatat pertumbuhan stabil, dengan jualan elektrik meningkat 26.7 peratus tahun ke tahun kepada RM24.2 juta berbanding RM19.1 juta pada tempoh sama tahun sebelum.
Bagi jualan elektrik, kumpulan telah memperolehi kapasiti terkumpul sebanyak 135MWp daripada beberapa perjanjian pembelian kuasa korporat di bawah Powervest Programme.
Ia dijangka menyumbang RM52.4 juta pendapatan tahunan berulang setelah siap sepenuhnya dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang. – UTUSAN









