KUALA LUMPUR: Dua Rang Undang-Undang (RUU) penting dibentangkan di Dewan Rakyat semalam sekali gus menjadi sejarah baharu dalam reformasi institusi eksekutif dan perundangan negara.
Kedua-duanya adalah RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 1) 2026 yang bertujuan mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri serta RUU Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 yang bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Kedua-duanya dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dengan bacaan kali kedua pula dijadual dalam persidangan sama pada minggu depan.
Azalina berkata, pindaan itu dibuat bagi memenuhi komitmen janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) lalu selain mengelakkan salah guna kuasa.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkukuh prinsip kebebasan institusi serta memastikan keadilan dalam sistem perundangan negara.
Katanya, menerusi RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri telah menjelaskan, bekas pemimpin yang mempunyai rekod perkhidmatan selama 10 tahun tidak boleh dilantik semula ke jawatan itu.
Katanya, perkhidmatan Perdana Menteri juga diambil kira bersandarkan kepada tahun-tahun dia sudah berkhidmat.
“Maknanya juga, ia dikira ke belakang (rekod sebelum ini). Jadi Perdana Menteri yang ada hari ini, kalau katakan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim), dia menang lagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, dia hendak jadi Perdana Menteri sekali lagi, boleh.
“Tetapi kalau dikira dari tahun, dia tinggal (baki) tujuh tahun saja, bukannya mahu bagi dia 10 tahun lagi, tidak. Mungkin Tan Sri Muhyiddin (Yassin), kalau jadi Perdana Menteri lagi sebab dia menang, mungkin dia tinggal lapan tahun. Kemudian, Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mungkin tinggal sembilan tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat mengenai RUU pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri di Parlimen, semalam.
Mengulas mengenai RUU pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Azalina berkata, tempoh perjawatan Pendakwa Raya boleh disambung dengan pelanjutan perlu dibuat secara permohonan, bukannya pembaharuan secara automatik.
“Pendakwa Raya perlu memohon untuk terus berada di jawatan berkenaan selepas tempoh perjawatannya tamat. Kita tidak mahu menjadikan pembaharuan tempoh perjawatan Pendakwa Raya ini secara automatik.
“Sebaliknya individu terbabit perlu memohon bagi tujuan berkenaan supaya Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) boleh menilai semula (prestasi). Ini kerana, selepas tujuh tahun mungkin akan ada personaliti lain yang dimahukan oleh kerajaan semasa,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, proses pelantikan Pendakwa Raya selepas Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 dikuatkuasakan nanti tidak akan melibatkan Perdana Menteri.
Sebaliknya, pelantikan jawatan tersebut bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja dengan senarai calon dikemukakan SPKP.
Katanya, pelantikan Pendakwa Raya juga tidak membabitkan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri, selain perlu memiliki pengalaman litigasi sekurang-kurangnya selama 10 tahun.
“Idea asal adalah untuk memisahkan campur tangan politik dalam aspek pelantikan Pendakwa Raya dan sebab inilah kita tidak meletakkan peranan ahli politik, termasuk Perdana Menteri.
“Sebab kita mahu memastikan dia (Pendakwa Raya) berlaku adil ketika menjalankan tugas dan inilah yang menjadi kebimbangan ketika idea memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Kita khuatir Pendakwa Raya akan terikut-ikut dengan rentak kelompok tertentu yang menentukan pelantikannya, jika proses berkenaan turut membabitkan Yang Berhormat atau ahli politik,” katanya.-UTUSAN.










