Pelantikan Ahmad Samsuri bukan matlamat jadi PM

Ahmad Samsuri bagi kukuhkan PN, bukan fokus jadi PM

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu bukan bermatlamat untuk dijadikan sebagai ‘poster boy’ sekali gus calon Perdana Menteri.

Sebaliknya, pelantikan Naib Presiden Pas tersebut adalah lebih untuk memperkasa gabungan itu dengan membina semula kekuatan dari akar umbi di seluruh negara.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, apa yang penting kepada Pas adalah Ahmad Samsuri diterima secara sebulat suara oleh komponen PN lain untuk diangkat menjadi Pengerusi.

Katanya, ketika nama Ahmad Samsuri dicalonkan Pas sebagai Pengerusi PN, pertimbangannya tidak melibatkan menjadikan Menteri Besar Terengganu itu sebagai calon Perdana Menteri.

“Pengerusi PN perlu diisi terlebih dahulu dan semua komponen PN telah menerima beliau. Buat masa ini, kami fokus untuk memperkasakan (jentera dan akar umbi) PN di seluruh negara.

“Soal ‘poster boy’ untuk calon Perdana Menteri, itu bukan pertimbangan Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Ahmad Samsuri dilantik menjadi Pengerusi PN selepas peletakan jawatan pendahulunya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.

Pada 30 Disember 2025, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari lalu, selepas mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, selepas selesai pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi, fokus PN kini mula terarah bagi menyelesaikan masalah dalaman dan luaran gabungan tersebut selain membela isu rakyat.

“Bagi Pas sendiri, tidak perlu calon Perdana Menteri jika jentera parti lemah. Permasalahan dalaman dan luaran PN perlu diatasi juga dan kita fokus untuk membela isu rakyat serta isu negara yang sangat banyak pada masa kini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berpandangan bahawa Ahmad Samsuri adalah calon yang boleh ‘dijual’ untuk menjadi tawaran baharu PN kepada rakyat Malaysia.

Katanya, sudah tentu apabila dilantik sebagai Pengerusi sesebuah gabungan, tafsirannya adalah Ahmad Samsuri akan menjadi calon ‘poster boy’ seperti diuar-uarkan sesetengah pihak sebelum ini.

Namun, pada akhirnya, calon Perdana Menteri perlu mendapat persetujuan semua pihak dan tidak semestinya Pengerusi PN sendiri adalah calon ‘poster boy’ mereka.

“Bagaimanapun, dari sudut kemampuan Ahmad Samsuri menerajui PN, kita perlu melihat perkara itu dari kedudukan beliau iaitu seorang Menteri Besar Terengganu, perjawatannya sebagai Naib Presiden Pas dan latar belakangnya sebagai teknokrat yang pernah menjadi pensyarah dalam bidang aeroangkasa.

“Pengalamannya itu dilihat mampu mengimbangi kerisauan terhadap kemampuan Pas diterima oleh masyarakat pelbagai etnik dan imej moderat beliau adalah paparan optik untuk menarik sokongan khususnya bukan Melayu,” katanya. – utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×