KUALA TERENGGANU: Keadaan tayar bas yang haus dengan membawa 65 penumpang antara kes yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina (Ops TBC) bermula 13 Februari lalu hingga semalam.
Pengarahnya, Mohd. Zamri Samion berkata, bas dua tingkat berkenaan dikenal pasti bermasalah ketika pemeriksaan di Terminal Bas Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MBKT).
Berikutan itu, katanya, JPJ mengarahkan bas berkenaan supaya melakukan penukaran tayar terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.
“Ia seiring dengan fokus kita untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dengan mengenal pasti risiko yang berlaku. Kita mahu mengingatkan pemandu bas supaya memastikan bas berada di dalam keadaan yang baik sebelum memulakan perjalanan.
“Sepanjang tempoh operasi ini, daripada 1,019 bas diperiksa sebanyak tujuh dikenakan tindakan membabitkan isu Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV), tayar dan cermin retak,” katanya pada penutup Op TBC di Terminal Bas MBKT di sini.
Mohd. Zamri berkata, pemandu bas perlu peka dengan keadaan kenderaan terutama dari segi aspek teknikal kerana mereka membawa nyawa penumpang.
Sementara itu, katanya, sebanyak 152 pemandu bas menjalani pemeriksaan urin dan tiada yang positif.
“Ini adalah suatu yang positif kerana kita tidak mahu wujud isu berkaitan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu bas.
Mohd. Zamri berkata, sepanjang Op TBC dijalankan , sebanyak 18,480 kenderaan diperiksa dan 1,304 dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan. – UTUSAN











