“Ambil gambar ini sebab ada orang sedang duduk membaca surat khabar. Surat khabar sudah jadi barang rare sekarang.”
Itu kapsyen seorang gadis di Threads, memuat naik foto dua lelaki yang tekun membelek surat khabar di depan sebuah klinik.
Dalam Threads, sesiapa pun boleh lalu lalang dalam akaun kita. Tidak perlu tekan butang ‘berkawan’. Tidak perlu minta izin.
“Ya, hanya orang old-timer membaca surat khabar.” Komen seseorang.
Dan dalam Threads itu juga ada yang bertanyakan: “Mana hendak beli surat khabar? Masih ada jual lagi?
Pertanyaan itu, mungkin biasa pada kebanyakan orang. Tetapi bagi saya yang sudah bekerja 30 tahun dalam industri ini, soalan tersebut bagaikan ‘renjatan elektrik’. Seolah-olah surat khabar sudah diwartakan sebagai artefak zaman lampau seusia dinosaur agaknya.
Dulu ketika kecil, arwah bapa saya setiap hari pasti akan membeli surat khabar dan membeleknya berulang kali siang dan malam. Selalunya dia akan berhenti lama di halaman sukan. Saya pula selepas habis belajar mencari surat khabar untuk melihat iklan jawatan kosong. Dalam surat khabar ada macam-macam ketika itu.
Tetapi sekarang, ramai yang ‘malu’ mengepit surat khabar di tempat awam. Iyalah, di dalam tren atau bas, orang lain sibuk membaca di skrin telefon pintar, dia pula membuka helaian kertas yang berdesir bunyinya. Macam menongkah arus zaman.
Namun, dalam pada ramai yang sudah melupakan peranan surat khabar sehinggakan tidak tahu sama ada akhbar masih dijual, ada yang tetap setia. Bukan semua begitu.
Seorang penulis yang juga pesara kerajaan, Zainal Abdul Kadir yang menetap di Seri Kembangan, tetap membeli surat khabar setiap hari. Baginya, membaca akhbar fizikal memberi kepuasan yang tidak boleh ditukar ganti. Surat khabar yang memuatkan artikel-artikel yang bagus menjadi koleksi peribadinya.
“Dulu kedai runcit di taman perumahan saya ada jual. Stesen minyak Petronas dan Shell pun ada. Sekarang tinggal Petron sahaja yang jual. Itu pun kena cepat, kalau lambat habis,” katanya kepada saya.
Katanya lagi, orang yang mengatakan surat khabar mahal harganya walaupun hanya RM2 senaskhah, adalah orang yang suka ‘membebel’ tidak tentu pasal.
Munsyi Dewan (Bahasa) DBP dan bekas guru, Mohamad Musip pula melihat akhbar dari sisi lebih mendalam. Pada hematnya, fitrah manusia memang cenderung kepada visual yang boleh disentuh dan ditatap. Dalam konteks akhbar fizikal, kepentingannya nyata khususnya kepada penulis dan pelajar.
“Pelbagai ruangan mengundang minat untuk berkarya atau membaca berulang kali. Kepada pelajar, akhbar mendidik keterampilan berbahasa dan memperkaya maklumat,” ujarnya.
Suatu ketika dahulu, surat khabar adalah nadi maklumat rakyat. Ia dibaca di warung, di pejabat, di rumah. Namun hari ini, keberadaannya di rak kedai, hanya tinggal beberapa naskhah. Edarannya merosot, pembacanya terus menyusut.
Akhbar ini, Mingguan Malaysia pernah mencatatkan jualan melebihi 600,000 naskhah, terutamanya pada pertengahan tahun 1990-an. Angka edaran yang sangat tinggi ini menjadikan ia antara surat khabar Melayu paling popular pada waktu tersebut.
Sejarah surat khabar di negara ini sebenarnya panjang. Jawi Peranakan yang terbit sejak 1876 di Singapura dianggap antara yang terawal untuk pembaca Melayu. Kemudian muncul Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, memainkan peranan penting menjelang kemerdekaan. Warta Malaya turut menyemarakkan wacana politik dan nasionalisme sebelum Perang Dunia Kedua.
Dalam bahasa Inggeris pula, kesinambungan The Straits Times sejak 1845 melahirkan New Straits Times. Disusuli Berita Harian dan Harian Metro, ekosistem media cetak Malaysia pernah begitu gagah.
Secara global, edaran cetak merosot sekitar 40 peratus dalam tempoh 15 tahun. Di Amerika Syarikat, jumlah akhbar menurun daripada lebih 7,000 pada 2005 kepada sekitar 4,490 kini. Banyak kawasan kehilangan akhbar tempatan sepenuhnya. Di Britain, ada akhbar beralih kepada mingguan atau digital kerana kos cetakan tinggi.
Mengapa ini berlaku? Jawapannya semua orang pun tahu, kita kini berada dalam era digital. Generasi muda kini membesar dengan telefon pintar di tangan. Berita sampai melalui notifikasi dan media sosial. Percuma, segera dan pelbagai. Tidak perlu menunggu esok pagi untuk mengetahui apa yang berlaku malam tadi.
Dalam pada itu, harga kertas meningkat. Kos percetakan dan pengedaran membebankan. Akhbar terpaksa mengurangkan halaman, mengecilkan edaran, malah ada yang menghentikan versi cetak.
Namun, adakah ini bererti surat khabar akan mati? Tidak semestinya. Banyak organisasi media terutamanya yang arus perdana memilih untuk berubah. Mereka membina portal berita, aplikasi mudah alih, memperkenalkan langganan digital dan paywall. Podcast, video berita, newsletter semuanya menjadi cabang baharu. Laporan mendalam dan jurnalistik penyiasatan diberi tumpuan, kerana nilai ini sukar diganti oleh berita ‘klik cepat’ di media sosial.
Kita ambil contoh The Guardian di United Kingdom. Ditubuhkan pada 1821, ia pernah bergantung kepada edaran cetak harian. Kini, naskhah cetaknya sekitar 55,000 hingga 60,000 sehari jauh lebih rendah berbanding dekad lalu.
Namun, The Guardian tidak rebah. Mereka menukar strategi. Lebih 1.3 juta penyokong digital berdaftar di seluruh dunia menyumbang secara berkala. Jutaan pembaca mengakses laman web dan aplikasi mereka setiap bulan. Cetakan mungkin menyusut, tetapi jenama dan pengaruh editorial terus hidup di alam digital. Di sinilah maknanya surat khabar tidak mati. Ia sedang berevolusi.
Mungkin benar, kita tidak lagi melihat orang ramai mengepit akhbar di stesen komuter. Mungkin rak kedai tidak lagi penuh surat khabar seperti dahulu. Namun selagi ada yang menghargai tulisan mendalam, analisis berfakta dan bahasa yang terjaga, semangat kewartawanan itu tetap bernyawa.
Barangkali suatu hari nanti, surat khabar fizikal benar-benar menjadi niche iaitu dibeli oleh pembaca setia yang menghargai sentuhan kertas dan ketelitian suntingan. Tidak kisahlah, yang lain mahu memilih skrin.
Tetapi apa pun platformnya, yang penting bukan pada kertas. Yang penting kebenaran yang dilaporkan, bahasa yang mendidik, dan pemikiran yang dicetuskan.
Selagi manusia mahu tahu apa yang berlaku di luar pagar rumahnya, selagi itu kewartawanan akan terus hidup. Dan selagi manusia mahu tahu, mahu membaca, mahu berfikir selagi itulah surat khabar dalam apa juga bentuknya, akan terus ada.
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia










