BANTING: Had tempoh jawatan Perdana Menteri selama dua penggal atau 10 tahun akan bermula pada pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, prinsip itu penting bagi memastikan pindaan yang dicadangkan tidak dilihat menyasarkan kepemimpinan akan datang, sebaliknya bermula dengan kerajaan hari ini.
“Ya, bermula daripada saya lah. Maknanya jangan saya buat undang-undang untuk orang lain.
“Undang-undang itu mesti terpakai untuk saya dulu,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheeding di sini, semalam.
Anwar tiba di pekarangan masjid kira-kira pukul 1.30 tengah hari bagi menunaikan solat Jumaat bersama hampir 700 jemaah.
Beliau dan jemaah mendengar khutbah bertajuk ‘Menghidupkan Ramadan Dengan Ibadah Yang Berkualiti’ yang disampaikan oleh Imam Masjid Kampung Seri Cheeding, Zamhari Mohd. Darwi.
Sebelum ini, Jemaah Menteri bersetuju menetapkan had maksimum 10 tahun atau dua penggal tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai langkah memperkukuh tadbir urus negara dan keseimbangan kuasa dalam pentadbiran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggubalan undang-undang termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan di Parlimen pada sidang kali ini.
Perdana Menteri berkata, cadangan berkenan telah dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini dan ia wajar disegerakan sekiranya memperoleh konsensus majoriti ahli Parlimen.
Katanya, tempoh 10 tahun adalah mencukupi bagi mana-mana pemimpin yang mahu berkhidmat secara ikhlas kepada negara untuk melaksanakan agenda dan tanggungjawab dengan sebaiknya.
“Saya ingat sesiapa yang mahu berkhidmat dengan ikhlas kepada negara, 10 tahun itu cukup memadai untuk dia lakukan sebaiknya.
“Selepas itu, wajar kita beri ruang kepada rakan-rakan lain meneruskan khidmat,” katanya.
Mengulas dakwaan salah laku dan penyelewengan dikaitkan dengan dua dasar utama kerajaan ketika diterajui bekas Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Pandan,
Datuk Seri Rafizi Ramli, Anwar berkata, sebarang dakwaan salah laku dan rasuah membabitkan mana-mana pihak perlu disiasat secara telus dan terbuka tanpa prejudis.
Katanya, prinsip kerajaan adalah jelas iaitu setiap dakwaan perlu diberikan ruang untuk disiasat secara menyeluruh sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
“Apa pun salah laku yang ada dakwaan, kita harus konsisten. Sama ada sesiapa pun, kalau ada dakwaan, siasat dengan telus dan terbuka.
“Sebelum selesai siasatan dan pendakwaan, janganlah kita hukum. Sekarang ini kita dengar dan beri ruang untuk siasatan dijalankan,” katanya.
Akhbar ini melaporkan, Rafizi mendakwa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya berhubung Program Visi Silikon dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) merupakan satu bentuk intimidasi susulan pendiriannya yang lantang menuntut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki digantung tugas serta-merta.
Menurut Rafizi, kedua-dua dasar tersebut dilancarkan oleh Anwar sendiri selepas melalui proses kelulusan menyeluruh termasuk di peringkat jawatankuasa berkaitan, Kabinet dan Jemaah Menteri.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan agar masyarakat tidak terburu-buru membuat sebarang tuduhan atau kecaman yang tidak berasas, apatah lagi dalam bulan Ramadan.
“Kalau ada tuduhan, kita siasat dengan baik. Kalau ada bukti bersalah, dakwa. Tetapi jangan kita hebahkan untuk menghukum sebelum ada keputusan.
“Ini masalah dalam negara kita, dengar sahaja tuduhan terus melompat kecam. Belum tahu lagi, nanti jadi fitnah,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan terbuka menerima sebarang dakwaan termasuk terhadap dirinya sendiri, namun ia mesti disertakan bukti dan melalui proses siasatan yang sah.
“Kalau ada dakwaan, ada bukti, kita siasat dengan telus. Barulah negara ini teratur,” katanya. – UTUSAN










