Mahkamah benarkan jumlah ganti rugi pendakwah fitnah Khairy dikurangkan

Mahkamah benarkan jumlah ganti rugi pendakwah fitnah Khairy dikurangkan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendakwah bebas, Mohd. Rasyiq Mohd. Alwi berjaya mengurangkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya.

Pada prosiding hari ini, Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah tersebut kepada RM830,000 selepas mendapati jumlah ganti rugi terdahulu adalah terlalu tinggi dan tidak mengikut trend semasa.

Panel dua hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Saleh bagaimanapun masih mengekalkan dapatan berhubung liabiliti bahawa kenyataan yang dibuat oleh pendakwah tersebut telah memfitnah Khairy.

“Terdapat suatu tempoh di mana mahkamah-mahkamah kita menganugerahkan ganti rugi berjumlah jutaan ringgit dalam kes fitnah yang berjaya. Era tersebut telah berakhir.

“Kami bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa kenyataan-kenyataan fitnah tersebut adalah serius. Dakwaan-dakwaan itu membayangkan ketidakjujuran, penipuan dan pemalsuan rekod vaksinasi terhadap responden (Khairy) yang pada masa berkaitan merupakan Menteri Kesihatan.

“Kami juga mendapati bahawa perayu tidak menunjukkan penyesalan yang sebenar kerana permohonan maaf yang dikemukakan hampir bersifat sinis.

“Bagaimanapun, ganti rugi am dalam kes fitnah bertujuan untuk memberi pampasan bukan untuk memperkayakan. Walaupun tiada jumlah tetap bagi ganti rugi dalam kes fitnah, jumlah tersebut mestilah berkadar dan selaras dengan trend kehakiman semasa.

“Jumlah keseluruhan RM2.5 juta bagi ganti rugi am adalah tidak selaras dengan trend kehakiman semasa. Oleh itu, kami mengurangkan ganti rugi am kepada RM500,000,”kata Hakim Mohamed Zaini ketika membaca penghakiman ringkas panel tersebut.

Panel terbabit turut mengurangkan jumlah ganti rugi teladan daripada RM250,000 kepada RM80,000. Jumlah ganti rugi teruk berjumlah RM250,000 yang ditetapkan oleh mahkamah terdahulu dikekalkan.

“Jumlah keseluruhan ganti rugi yang diberikan kepada responden dipinda kepada RM830,000. Faedah hendaklah berjalan ke atas jumlah yang telah dipinda tersebut selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi. Kami juga menganugerahkan kos sebanyak RM50,000 kepada responden tertakluk kepada peruntukan perakuan taksiran (allocator),”kata hakim itu.

Pada 18 April 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Mohd. Rasyiq untuk membayar ganti rugi sebanyak RM2.5 juta kepada Khairy selepas membenarkan saman bekas Ahli Parlimen Rembau itu berhubung Program Vaksinasi Negara dan vaksin serta dos penggalak yang diterimanya.

Pada 25 Januari 2022, Khairy memfailkan saman tersebut selaku plaintif dan atas kapasiti peribadi mendakwa Mohd. Rasyiq telah memfitnahnya melalui empat kenyataan berbaur fitnah, menyiarkan tiga video serta satu gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober 2021, serta 6 dan 10 Januari 2022.

Antara kenyataan berbaur fitnah tersebut merujuk kepada vaksinasi Covid-19 yang diterima Khairy dan syarat vaksinasi bagi mereka yang akan mengerjakan umrah.

Plaintif mendakwa, kenyataan berbaur fitnah yang dibuat oleh defendan antara lain menggambarkan Khairy berbohong dan menipu orang ramai bahawa beliau telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.

Khairy mendakwa, ekoran penerbitan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah tersebut, beliau telah dibenci oleh orang awam, reputasi dan kredibilitinya terjejas serta menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap dirinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×