KUALA LUMPUR: Program Malaysia My Second Home (MM2H) bukan sekadar satu dasar, sebaliknya menjadi mesej jelas bahawa Malaysia bersedia membuka pintu kepada komuniti antarabangsa dengan tadbir urus lebih kukuh, proses lebih telus serta sistem lebih efisien.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sejak kerangka baharu MM2H diluluskan Kabinet pada 21 Mei 2024 serta pengambilalihan rasmi program itu oleh kementeriannya pada 15 Oktober 2023, keyakinan terhadap inisiatif berkenaan menunjukkan lonjakan ketara.
Katanya, operasi melalui Pusat Sehenti (OSC) MM2H yang bermula pada 18 Disember 2023 turut menyumbang kepada peningkatan prestasi program berkenaan termasuk dari segi jumlah lesen pengendali dan penyertaan peserta.
“Sehingga 11 Februari 2026, sebanyak 255 lesen pengendali telah dikeluarkan dan prestasi sebenar dapat dilihat melalui angka penyertaan yang meningkat dengan signifikan pada 2025.
“Bagi 2024 dan 2025 sahaja, seramai 9,511 peserta diluluskan di bawah pelbagai kategori termasuk Platinum, Gold, Silver serta Zon Ekonomi Khas/Zon Kewangan Khas,” katanya.
Katanya, pencapaian tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya diterjemahkan kepada sumbangan ekonomi nyata yang memberi impak langsung kepada negara.
“Pada 2024, program ini menyumbang fi penyertaan berjumlah RM3.3 juta dan akaun simpanan tetap mencecah RM550.8 juta.
“Pada 2025 pula, sumbangan meningkat kepada RM10.5 juta bagi fi penyertaan, akaun simpanan tetap RM1.8 bilion serta pembelian rumah bernilai RM1.5 bilion,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ejen serta syarikat pengendali yang memainkan peranan mempromosikan MM2H di peringkat antarabangsa.
“Kita sentiasa mengiktiraf yang cemerlang, namun saya percaya lebih ramai lagi mampu melonjakkan prestasi dengan kerjasama rakan strategik yang tepat di luar negara,” katanya.
Katanya, MM2H bukan hanya mengenai persaraan atau pemilikan hartanah, sebaliknya menjadi platform membina komuniti antarabangsa yang memilih Malaysia sebagai rumah kedua.
“Saya percaya mereka memilih Malaysia kerana kestabilan, kepelbagaian budaya, kemudahan perkhidmatan serta kualiti hidup yang ditawarkan.
“Kita tidak hanya mempromosikan sebuah program, kita sedang mempromosikan Malaysia sebagai destinasi jangka panjang yang diyakini dunia,” katanya.
Beliau turut menghargai sokongan strategik Bank of China yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama kementerian.
“Kerjasama ini penting bagi memperkukuh keyakinan pelabur dan peserta antarabangsa terhadap kestabilan serta kredibiliti program berkenaan,” katanya.-UTUSAN











