Puspakom rangka protokol pemeriksaan EV dan ART

Puspakom rangka protokol pemeriksaan EV dan ART

MAHMOOD RAZAK (tengah).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) merangka protokol bagi pemeriksaan kenderaan elektrik (EV) dan Transit Rapit Autonomi (ART) sebagai persiapan menghadapi teknologi pengangkutan masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, EV bakal menjadi fokus utama pada masa depan Puspakom walaupun ia kini hanya merangkumi kira-kira dua peratus daripada jumlah keseluruhan volum industri (TIV).

“Buat masa ini belum ada protokol EV khusus kecuali di China, tetapi Puspakom sudah bersedia dan pemeriksaan EV meliputi brek, suspensi serta keselamatan.

“Bagi pertumbuhan kenderaan komersial dan e-hailing pula tidak memberi kesan besar kepada volum pemeriksaan di Puspakom kerana populasi kenderaan wajib diperiksa kekal sekitar 1.1 hingga 1.2 juta unit setahun,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada pemberita di majlis Tahun Baharu Cina Puspakom di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pada masa hadapan pemeriksaan EV akan merangkumi pengesanan kebocoran elektrik serta tahap kesihatan bateri (state of health).

“Ini penting bagi mengelakkan kenderaan terkandas akibat prestasi bateri yang merosot, yang juga boleh menimbulkan risiko keselamatan.

“Sebagai langkah awal, Puspakom sudah membuka cawangan baharu di Cyberjaya yang akan menempatkan lorong EV pertama Puspakom, menunjukkan kesiapsiagaan dalam menghadapi peningkatan permintaan EV.

“Selain itu, pusat baharu di Kajang, Bukit Beruntung dan Batu Caves direka dengan laluan universal yang boleh disesuaikan untuk EV pada masa depan,” katanya.

Mengulas mengenai ART di Kuching, Sarawak pula, beliau berkata, kenderaan itu berkapasiti besar, mencecah 250 penumpang dengan tiga gerabak bersambung seperti tren, namun secara teknikal diklasifikasikan sebagai bas.

“Ketika ini, pihak kami bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang membangunkan protokol pemeriksaan khusus untuk kenderaan ART tersebut. 

“Secara asasnya, pemeriksaan adalah sama seperti bas lain melibatkan brek dan suspensi, tetapi terdapat beberapa perbezaan teknikal,” jelasnya. 

Mahmood Razak berkata, pusat pemeriksaan untuk ART ini akan ditempatkan di depot sistem tersebut sendiri di Kota Samarahan, berhampiran fasiliti sedia ada. 

“Kaedah ini sama seperti pemeriksaan bas Rapid dan sistem rel transit lain, di mana peralatan pemeriksaan ditempatkan terus di depot dan tidak dibawa keluar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×