PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 5 Mac ini, susulan tiada keperluan untuk rangsangan baharu setelah mencapai pertumbuhan ekonomi melebihi jangkaan bagi suku keempat 2025 sebanyak 6.3 peratus.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, polisi monetari dijangka kekal bagi menunjukkan kestabilan dasar negara, sekali gus dapat memberikan gambaran positif terhadap pelabur asing.
Katanya, ekonomi negara tidak memerlukan rangsangan tambahan buat masa ini kerana prestasinya sudah menunjukkan peningkatan yang baik.
“Pendekatan semasa adalah untuk menyimpan ruang dasar bagi menghadapi kemungkinan cabaran ekonomi pada masa hadapan.
“Bagi tahun 2026, pertumbuhan ekonomi dijangka berada antara empat hingga 4.5 peratus. Namun, terdapat kemungkinan ekonomi akan menyusut pada hujung 2026 atau awal 2027 dan ketika itu langkah rangsangan mungkin diperlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, perangsang ekonomi ketika ini masih menekankan perbelanjaan persendirian dan isi rumah dengan pemberian subsidi termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas sebanyak RM100.
Menurutnya, walaupun jumlah RM100 tersebut kelihatan kecil, namun ia dapat membantu aliran perbelanjaan dalam ekonomi.
“Selain itu, aliran pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara juga dijangka terus meningkat. Sektor yang berpotensi memacu pertumbuhan termasuk sektor pelancongan, dengan sasaran melebihi 35 juta pelancong.
“Secara keseluruhan, saya jangkakan ekonomi negara berkembang sekitar empat peratus bagi tahun ini,” jelasnya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, perubahan dasar monetari hanya akan berubah apabila terdapat perubahan pada data seperti pertumbuhan ekonomi dan kadar inflasi.
Katanya, data semasa menunjukan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus bagi 2025, melebihi 5.1 peratus bagi tahun 2024 dan kebanyakan data makroekonomi berada di zon positif.
“Sebagai contoh kadar pengangguran yang rendah dibawah tiga peratus, kadar inflasi pada 1.3 peratus dengan inflasi teras hanya dua peratus. Perdagangan antarabangsa mencecah RM3 trillion, aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan, lonjakan positif Bursa Malaysia serta pengukuhan nilai ringgit sekitar RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)
“Dasar fiskal kerajaan dengan bantuan sosial spt SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang menyuntik tunai ke dalam ekonomi domestik dan memastikan perbelanjaan isi rumah dan perusahan mikro kecil dan sederhana (PMKS) terus mengekalkan momentum positif untuk tahun 2026.
“Jadi, berdasarkan data-data diatas, dasar monetari BNM dilihat tidak akan berubah dan akan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus, apatah lagi kadar inflasi berada pada tahap yang rendah dan stabil,” jelasnya.
Tambahnya, perubahan dasar monetari hanya akan berlaku apabila data-data tersebut berubah dengan cepat, misalnya ekonomi dunia terjejas dengan impak geopolitik luar yang memperlahan sektor eksport negara, lalu menjejaskan ekonomi domestik dengan kadar inflasi yang tinggi.
“Jika ini berlaku, maka OPR terpaksa diturunkan untuk memberikan impetus kepada ekonomi, memberikan kemudahan kewangan pada harga faedah yang rendah untuk membantu perniagaan terutama PMKS dan juga menggalakkan pengguna membuat pinjaman dan perbelanjaan,” ujarnya. – UTUSAN










