Bagi memenuhi cita rasa generasi muda yang gemarkan gaya segar, ringkas dan versatil di Aidilfitri, jenama tempatan, Finn Hijab menampilkan 28 rekaan tudung eksklusif.
Koleksi Arunika tersebut mengetengahkan pilihan warna lembut dan terang di samping motif corak yang sesuai dipadankan dengan pelbagai busana raya.
Menariknya, koleksi kali ini dibahagikan kepada empat tema utama iaitu signatur, bunga, leopard dan polos.
Pengasasnya, Eda Afinie Datuk Mohd. Fauzi berkata, keunikan tudung bawal keluarannya terletak pada pemilihan material cotton premium voile yang ringan, lembut dan selesa dipakai sepanjang hari.
“Tudung ini direka dengan awning yang terbentuk cantik secara semula jadi dan si pemakainya tidak perlu mengambil masa lama untuk menggayakannya.
“Malah, materialnya juga tidak perlu digosok, sangat sesuai untuk wanita muda yang mahukan gaya praktikal terutama di pagi raya,” katanya ketika pertunjukan fesyen WarnaRaya X KLCC Runway & Bazaar 2026 baru-baru ini.
Istimewanya, tudung berharga RM39.90 ini bukan hanya untuk wanita berhijab, bahkan sesuai dijadikan aksesori pelengkap gaya buat mereka yang tidak bertudung.
Selain dililit di kepala, rambut atau leher, ia juga boleh dihias pada beg tangan.
“Paling laris ialah bunga dan leopard, mungkin kerana rekaan serta warnanya yang menarik.
“Sambutan luar biasa ini mendorong saya untuk menambahkan lagi bekalan bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.
Finn Hijab dipasarkan sejak 2024 dengan memfokuskan kepada rekaan tudung bawal polos dan bercorak.










