PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed menegaskan jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM) ketika ini terbuka buat semua.
Katanya, mana-mana individu yang memperoleh pencalonan mencukupi berhak menawarkan diri tanpa sebarang sekatan.
“Malaysia ini negara demokrasi, jadi sesiapa sahaja boleh bertanding.Siapa-siapa nak bertanding silakan.
“Semua orang boleh bertanding untuk jawatan itu . Kalau cukup pencalonan, dialu-alukan bertanding,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau turut menegaskan bahawa FAM sememangnya mengamalkan prinsip keterbukaan dalam pemilihan kepemimpinan tertinggi badan induk bola sepak negara itu.
“Saya percaya FAM juga sentiasa mengamalkan demokrasi. Bukan hanya individu tertentu sahaja, sesiapa pun boleh bertanding,” ujarnya.
Sebelum ini, presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menegaskan kesediaannya menawarkan diri untuk memegang jawatan dalam FAM bagi memulihkan imej badan induk itu yang dilihat semakin tercalar.
Katanya, beliau percaya jaringan hubungan luas yang dimilikinya di dalam dan luar negara mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula bola sepak tanah air. – UTUSAN










