Helah Tun M kembali berkuasa - Aziz Bari - Utusan Malaysia

Helah Tun M kembali berkuasa – Aziz Bari

Abdul Aziz Bari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mencadangkan penubuhan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) mungkin disebabkan bekas perdana menteri itu melihatnya sebagai peluang untuk beliau kembali berkuasa.

Pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, jika Dr. Mahathir dilantik sebagai Pengarah Mageran, kuasanya lebih besar daripada perdana menteri

“Sebab, sebagai contoh, dia boleh buat undang-undang melalui ordinan tanpa perlu ke Parlimen. Sebab itu kita tentang Mageran ini. Kita nak buka Parlimen, bukan terus tutup Parlimen.

“Cuma soalnya pelantikan (Pengarah Mageran) perlu dibuat atas nasihat Perdana Menteri, adakah Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sanggup untuk diketepikan?

“Kita perlu ingat Tunku (Tunku Abdul Rahman) diketepikan pada tahun 1969 dan akhirnya pengarah Mageran ketika itu, iaitu timbalan beliau, Tun Abdul Razak akhirnya jadi Perdana Menteri. Mahukah Muhyiddin jadi begitu?,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, bukankah lebih logik Muhyiddin sendiri jadi Pengarah Mageran daripada mencadangkan nama Dr. Mahathir.

Menurut beliau, sebagai raja berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh buat pelantikan sendiri.

“Kita perlu ingat kerajaan masih ada. Kerajaan ini perlu nasihatkan Yang di-Pertuan Agong, kecuali kerajaan sudah tiada, meletak jawatan atau dipecat,” katanya..

Menurutnya, isu Mageran sebenarnya mudah iaitu Majlis Gerakan Negara atau National Operation Council pada masa Tun Abdul Razak ditubuhkan di bawah kuasa darurat yang diisytihar oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1969.

Katanya, tiada apa-apa istimewanya Mageran kerana ia adalah instrumen darurat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×