KEPALA BATAS: Ketika beberapa industri lain semakin ‘menguncup’ atau terpaksa mengambil keputusan ‘gulung tikar’ akibat pandemik Covid-19 yang berlarutan sejak lebih setahun lalu, pasaran hartanah pula dilihat antara industri yang masih kekal bertahan hingga ke hari ini.
Di sesetengah tempat khususnya di utara Semenanjung termasuk Kepala Batas di Seberang Perai Utara di sini, Batu Kawan (Seberang Perai Selatan) serta beberapa lokasi di Kedah iaitu Kulim dan Sungai Petani, permintaan bukan sahaja stabil, malah, terus meningkat dari semasa ke semasa.
Pengarah Urusan IW Properties International Sdn. Bhd., Ridhuan Md. Desa berkata, antara faktor yang menyebabkan permintaan terhadap hartanah kekal tinggi adalah kerana kebanyakan pemaju mula menurunkan harga jualan dan tidak terlalu mementingkan keuntungan untuk terus kekal bersaing dalam pasaran semasa.
Katanya, ada sesetengah pemaju mengambil langkah berani menurunkan margin keuntungan dalam menawarkan harga rumah mampu milik selain meneruskan projek-projek tergendala dengan diskaun tinggi dalam usaha memastikan projek tersebut laku.
“Pada masa sama, pakej-pakej yang ditawarkan pemaju seperti membeli rumah tanpa bayaran deposit, bayaran guaman percuma dan sebagainya juga menarik minat para pembeli untuk mendapatkan hartanah berkenaan sama ada untuk tinggal, pelaburan atau kegunaan semasa tua dan pencen,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ketika ini, kebanyakan hartanah di utara Pulau Pinang serta selatan Kedah boleh diperoleh dengan harga jauh lebih rendah berbanding di Lembah Klang meskipun kemudahan infrastrukturnya hampir setanding dengan yang terdapat di Lembah Klang khususnya.
Dalam pada itu, seorang ejen hartanah, Syarimi Ahmad, 37, memberitahu, meskipun industri hartanah rancak berkembang ketika Covid-19, namun urusan pembelian dan penjualan rumah sedikit tergendala.
Katanya, ia berikutan penutupan beberapa agensi kerajaan seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.
Jelasnya, penutupan pejabat peguam serta penutupan atau pengecilan kakitangan di bank turut melambat dan membantutkan proses rundingan atau urusan pinjaman berkaitan perumahan.
“Penutupan pejabat jualan pemaju pada masa sama akan menyebabkan pembeli-pembeli tidak dapat membuat pilihan terhadap projek-projek perumahan yang ditawarkan.
“Selain itu, tiada kebenaran kepada pembeli untuk merentas negeri atau daerah juga boleh mengehadkan kebolehpasaran sesuatu projek hartanah itu,” katanya.
Tambah Syarimi, kebanyakan pembeli biasanya ingin melihat sendiri rumah serta keadaan sekeliling sebelum membeli. – UTUSAN










