KUALA LUMPUR: Penubuhan segera pasukan petugas khas nasional bagi menangani isu pencerobohan berlarutan perlu dilaksanakan segera dalam masa tempoh sebulan.
Ketua Penyelaras sementara Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Hanif Kathri Abdullah menuntut penubuhan segera pasukan petugas khas nasional dengan terma dan mengambil kira pandangan dan cadangan gerakan itu.
“Selepas dibentuk jawatankuasa itu dicadang menjalankan bancian menyeluruh meliputi sejarah permohonan dan kemungkinan campur tangan parti politik atau ahli politik yang berlaku sebelum ini,” katanya pada akhbar dalam majlis Amanat GARAH dan cadangan penyelesaian kemelut rumah anutan haram di sini hari ini.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, sebuah jawatankuasa peringkat nasional perlu ditubuhkan untuk menyelesaikan isu berkaitan rumah ibadat haram secara menyeluruh di seluruh negara.
Jawatankuasa itu perlu bertanggungjawab menjalankan bancian lengkap untuk mengenal pasti semua rumah ibadat haram dan berurusan secara langsung dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Tambah Haniff, hasil siasatan perlu dirumus dalam laporan lengkap bagi menentukan sama ada struktur wajar diputihkan atau dirobohkan mengikut lunas undang-undang sedia ada.
Katanya, sebarang keputusan hendaklah mengutamakan pelaksanaan undang-undang tanpa membuka ruang pampasan sebelum prosiding selesai bagi mengelakkan salah tafsir awam.
“GARAH turut menggesa supaya pemberi maklumat dilindungi daripada sebarang tindakan intimidasi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab lagi sekalipun.
“Sekiranya terdapat mana-mana ahli atau pemimpin politik sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang yang menyumbang kepada perlarutan isu itu, mereka mesti dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.
“GARAH turut menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa atau warna kulit supaya menolak pemimpin yang menghasut daripada memegang sebarang jawatan politik atau kedudukan dalam kerajaan,” katanya.- UTUSAN











