PETALING JAYA: Cadangan pelaksanaan program pemutihan rumah ibadat oleh kerajaan perlu dijelaskan secara telus tanpa sebarang agenda terselindung bagi mengelak salah faham serta kegusaran rakyat khususnya umat Islam.
Pakar Perlembagaan, Prof. Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, langkah itu mesti dilaksanakan dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan terutama berkaitan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta jaminan kebebasan beragama.
Beliau berkata, cadangan tersebut juga wajar dipersembahkan terlebih dahulu kepada Majlis Raja-Raja memandangkan ia melibatkan perkara yang menyentuh kedudukan agama Islam.
“Mana-mana kumpulan agama selain Islam boleh menguruskan hal ehwal agama dan mengutip dana sendiri, namun tidak boleh diperuntukkan dana daripada cukai Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.
“Mereka boleh menubuhkan dan menyelenggarakan institusi bagi maksud agama serta khairat, memperoleh harta dan mentadbirkannya mengikut undang-undang,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sebelum ini, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa peringkat nasional ditubuhkan bagi menyelesaikan isu rumah ibadat yang tidak mematuhi undang-undang secara menyeluruh.
Jawatankuasa itu dicadangkan menjalankan bancian lengkap untuk mengenal pasti semua rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan, selain berurusan secara langsung dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, kerajaan perlu mempunyai statistik jelas mengenai pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi undang-undang, termasuk status tanah sama ada milik kumpulan agama terbabit atau sebaliknya.
Katanya, kerajaan juga perlu meneliti status kumpulan agama berkenaan sama ada berdaftar dan mematuhi kehendak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sebagai pertubuhan sah.
“Selain itu, adakah aktiviti dan amalannya mematuhi ajaran agama masing-masing serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara? Lokasinya juga perlu sesuai dan tidak mendapat bantahan masyarakat setempat.
“Adakah sumber serta pengurusan kewangannya telus? Ini kerana penubuhan rumah ibadat agama selain Islam tidak ditadbir oleh pihak berkuasa agama seperti Majlis Agama Islam Negeri, sebaliknya tertakluk kepada undang-undang awam,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu memastikan hak kebebasan beragama diberikan kepada kumpulan agama yang sah untuk beramal secara teratur, bukannya kepada pihak yang berselindung di sebalik nama agama bagi menyebarkan fahaman bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.
“Bukan semua kesalahan boleh diputihkan. Kerajaan tidak boleh menjadikan kes terpencil sebagai asas dasar umum.
“Islam ialah agama Persekutuan dan negeri-negeri kecuali Sarawak. Maka sebarang cadangan yang menyentuh kedudukan agama Islam perlu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja.
“Kerajaan seharusnya menunjukkan ketegasan terhadap pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi prinsip keluhuran Perlembagaan. Undang-undang berkaitan permohonan mendirikan rumah ibadat mesti dipatuhi,” katanya. – UTUSAN










