Honda Malaysia perkenal enam model baharu tahun ini

Honda Malaysia perkenal enam model baharu tahun ini

NARUSHI Yazaki (dua dari kanan) pada Majlis Perjumpaan Media Honda Malaysia 2026 di Astana Hall, Bamboo Hills.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia mengukuhkan kedudukan pada 2026 dengan pelancaran enam model baharu, disokong sasaran jualan sebanyak 60,000 unit dalam persekitaran pilihan pengguna yang semakin berubah serta permintaan pasaran yang kian berkembang.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, syarikat komited mengekalkan semangat “fun to drive” dengan memberi keutamaan kepada prestasi pemanduan, disokong teknologi canggih serta penawaran produk yang inovatif.

“Seiring komitmen ini, syarikat bersedia terus merancakkan pasaran dengan memperluas barisan e:HEV, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia merasai prestasi seimbang dan mengujakan daripada teknologi hibrid termaju kami.

“Kami ingin menegaskan bahawa Honda bukan sekadar alat pengangkutan. Ia adalah tentang hubungan segera yang dirasai sebaik sahaja seseorang melangkah masuk melalui kegembiraan yang terhasil daripada rasa pemanduan secara semula jadi setiap kali berada di belakang stereng,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Media Honda Malaysia 2026 semalam.

Beliau berkata, syarikat turut memperkukuh operasi pengedar serta memberi penekanan lebih besar terhadap peningkatan perkhidmatan jualan dan selepas jualan.

“Inisiatif utama ini bertujuan menyampaikan pengalaman pemilikan yang lancar sambil memperkukuh kepimpinan Honda Malaysia di setiap titik sentuh pelanggan.

“Syarikat yakin dapat mencapai sasaran pada 2026, didorong prestasi kukuh pada 2025 dengan jualan melebihi 72,301 unit dalam pasaran dinamik yang dipacu peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrifikasi dan teknologi termaju.

“Honda Malaysia akan terus menerajui Segmen Kenderaan Penumpang Bukan Nasional untuk 12 tahun berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kehadirannya selama 25 tahun di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pengenalan teknologi S+ Shift buat julung kalinya juga merupakan contoh jelas hala tuju ini diterjemahkan dalam tindakan.

“Ia meningkatkan penglibatan pemandu dan menjadikan setiap perjalanan lebih dinamik serta memuaskan, sekali gus menunjukkan pendekatan Honda yang berbeza untuk semua yang gemar memandu,” katanya.

Honda Malaysia sentiasa mengkaji serta menjangkakan perubahan corak permintaan bagi kekal selari dengan realiti pasaran, disokong oleh pangkalan pelanggan yang luas dan aktif yang dibina sejak sekian lama.

Dengan tumpuan berteraskan pelanggan, syarikat akan memperkemas penawaran model agar pelanggan dapat mencari Honda yang benar-benar sesuai dengan gaya hidup dan keutamaan mereka secara mudah dan berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×