KUALA LUMPUR: Jumlah simpanan minimum RM15,000 bagi realiti semasa masih tidak mencukupi kerana kos mengerjakan haji secara muassasah bagi seorang jemaah adalah RM33,300.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, langkah Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan syarat baharu mewajibkan pendeposit menyimpan sekurang-kurangnya RM15,000 dalam akaun selaras dengan peningkatan semasa kos untuk menunaikan haji.
“Yang Berhormat Pengkalan Chepa berpandangan syarat simpanan RM15,000 memberi kesan besar kepada pendeposit.
“Namun, jumlah itu masih tidak mencukupi kerana kos keseluruhan bagi jemaah muassasah adalah RM33,300,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Rakyat, hari ini.
Zulkifli berkata, penetapan kadar baharu itu secara tidak langsung memberi kesan positif kerana ia mendorong pendeposit meningkatkan simpanan mereka bagi melayakkan diri menerima tawaran haji.
Katanya, langkah itu antara usaha TH bagi mengurangkan bilangan bakal jemaah yang menangguhkan giliran haji, seperti dilaporkan tahun lalu.
“Pada 2025, kira-kira separuh bakal jemaah yang menerima tawaran menangguhkan giliran kerana kekurangan simpanan. Bagi 2026, selepas peringatan awal diberikan, terdapat bakal jemaah yang terus meningkatkan simpanan ke paras RM15,000 dalam masa singkat.
“Mulai Ogos tahun lalu, TH mengeluarkan peringatan awal kepada bakal haji musim 2026 melalui semua platform termasuk media sosial, akhbar dan THijari. Alhamdulillah, tahun ini penangguhan berjaya dikurangkan kepada 18 peratus sahaja,” katanya. – UTUSAN










