Tiada bakat menulis tetapi memiliki keinginan merakam pencapaian atau kejayaan dalam penghasilan sebentuk artikel, buku atau e-buku?.
Sekiranya ya, khidmat penulis hantu atau ghostwriter boleh membantu merealisasikan hasrat anda menerbitkan buku dengan tertera nama anda sebagai penulis.
‘Penulis hantu’, Iera Yusoff berkata, perkhidmatan itu terbuka kepada sesiapa sahaja yang berkeinginan menulis cerita atau peristiwa mengikut selera dan keinginan pelanggan.
“Kehadiran kami membantu menjimatkan banyak masa pelanggan, kerana proses merangka cerita, temubual, susunan ayat hinggalah ke persembahan sesebuah buku atau artikel itu, dibantu kami.
“Kami hanya ambil upah menulis. Isi kandungan bergantung sepenuhnya mengikut agenda diingini pelanggan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kepakaran utama seorang ghostwriter adalah penulisan. Skop tugasan bermula daripada sekecil-kecil tugas menulis surat rasmi, surat tidak rasmi, laporan, teks ucapan sehinggalah tugas yang lebih besar seperti menulis buku kisah hidup atau berkaitan perniagaan atau kerjaya.
Iera yang juga Pengarah Urusan Sonique Artscape berkata, pembabitannya sebagai penulis hantu kerana minat membantu orang lain dan kecintaan dalam dunia penulisan.
“Jika mahu dihitung, saya sendiri tidak pasti bila saya mula menjadi ghostwriter. Sewaktu masih lagi makan gaji, saya kerap juga menerima tugasan berbayar daripada pelanggan syarikat yang minta menulis pelbagai tugas terutama laporan pada waktu senggang,” katanya dalam tutur bicara sarat tertib.
Menurut Iera, beliau nekad melepaskan jawatan sebagai ketua komunikasi korporat di sebuah syarikat yang menjalankan kontrak daripada beberapa syarikat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lima tahun lepas bagi menumpukan perhatian kepada keluarga.
“Saya mahu menghabiskan hari-hari mendatang dengan mencipta kenangan bersama anak-anak dan suami, terutama menyiapkan sendiri hidangan di atas meja buat keluarga.
“Lantas saya merencana satu kerjaya yang boleh dilakukan sambil menguruskan rumah tangga. Kerjaya daripada bidang yang saya suka.
“Jadilah saya penulis yang mengambil upah penulisan (ghostwriter) sepenuh masa meskipun dari kamar beradu,” katanya yang merujuk pejabat tempatnya memulakan kerjaya sebagai penulis hantu ialah di bilik tidurnya.
Pelbagai cabaran dan ranjau sepanjang menjadi penulis hantu tidak melemahkan semangat malah dianggap penawar oleh Iera.
“Ia bagaikan latihan untuk saya belajar menjadi pakar dalam bidang yang saya pilih ini. Kita perlu faham bahawa penulis hantu itu sendiri adalah individu yang menulis untuk orang lain.
“Bukan mudah untuk menjadi dan berfikir seperti akal fikir pelanggan terutama kebanyakan mereka adalah insan yang kita tidak pernah kenal. Ada waktu, penulisan diubah berkali-kali untuk memenuhi kehendak pelanggan.
“Bagaimana pun pelanggan adalah ‘raja’. Maka berusahalah dalam memenuhi kehendak pelanggan sehingga bukan sahaja beliau berpuas hati, kita juga boleh hela nafas dengan tenang,” katanya.
Berhubung masa depan kerjaya itu, di sebalik minat membaca masyarakat kian meluntur, Iera berkata, kerjaya itu masih relevan kerana ramai dalam kalangan masyarakat khususnya ahli perniagaan atau individu memerlukan penulisan dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan mereka.
“Kerja kami, bukan sekadar menulis untuk menghasilkan sebuah buku. Tetapi banyak lagi cabang tugas penulisan yang boleh dilakukan oleh seorang ghostwriter.
“Menerusi pengamatan dan kajian saya selama lebih lima tahun menjadi ghostwriter sepenuh masa, ada lebih 35 bidang tugas yang boleh dilakukan jika memilih kerjaya sebagai ghostwriter. Ia termasuklah menulis copywriting, menyediakan kandungan dalam media sosial individu atau syarikat dan sebagainya, asalkan ia berkiatan dengan skop penulisan.
“Semua ini diperlukan oleh individu atau orang perniagaan untuk memajukan syarikat. Tanpa penulisan atau kandungan yang baik, bagaimana sesuatu perniagaan itu boleh berkembang,” katanya.
KUASA TULISAN
Lebih daripada itu tidak dinafikan kuasa penulisan membangkitkan sesuatu rasa. Sekiranya sebuah buku yang ingin ditampilkan pelanggan, cuba membawa dirinya ‘diangkat’ atau ada agenda ‘menjatuhkan’ sesuatu pun, ia memerlukan kuasa penulisan sehingga terciptalah peribahasa ‘mata pena lebih tajam daripada mata pedang’.
Dalam kalangan yang hilang pekerjaan, menjadi penulis hantu menjadi antara kerjaya pilihan. Iera menyifatkan ia sebagai suatu persaingan sihat dalam industri.
“Jika ditanya bagaimana saya mahu konsisten mendapat projek meskipun kemunculan ghostwriter bagaikan cendawan selepas hujan, ialah kuasa rujukan. Alhamdulillah, pelanggan sedia ada sentiasa merujuk saya kepada kenalan dan ahli keluarga mereka untuk pelbagai tugas penulisan. Inilah yang menjadikan projek saya dan pasukan sentiasa ada,” katanya.
Rancak menulis dalam PKP

Kala orang lain mengenang nasib berdepan pandemik Covid-19, berlainan bagi Iera. Beliau sebaliknya rancak mendapat projek menulis.
“Masalah yang dihadapi oleh pelanggan yang mahu menulis buku adalah masa. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pejabat tidak boleh dibuka, operasi bisnes tergendala secara fizikal.
Semua orang punya banyak waktu sehingga tidak tahu mahu melakukan apa selain masak, makan dan tidur.
“Usahawan mana boleh jika hanya berdiam diri sahaja. Lantas ghostwriter dicari untuk memenuhi waktu lapang mereka menghasilkan buku daripada pelanggan seluruh negara.
“Alhamdulillah. Ia peluang yang Allah berikan kepada saya untuk membantu insan lain menggunakan kepakaran menulis dan membantu ummah menyebarkan ilmu daripada perkataan kepada penulisan dan dibukukan,” katanya.
Atas permintaan ramai katanya, Iera dan kumpulannya turut menganjurkan bengkel atas talian Virtual Ghostwriter yang mendapat sambutan menggalakkan.
“Sebenarnya semua orang boleh menulis. Apa yang mereka perlu lakukan ialah banyakkan menulis,” katanya.










