Selangor, Kuching City perang rebut naib juara

Selangor, Kuching City perang rebut naib juara

Liga Bolasepak Malaysia (MFL)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perebutan kedudukan naib juara Liga Super musim ini disifatkan semakin sengit dengan Selangor FC dan Kuching City muncul sebagai dua pasukan paling konsisten untuk mengakhiri saingan di tangga kedua liga.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, prestasi semasa kedua-dua pasukan memperlihatkan kelebihan yang seimbang, namun faktor kecergasan perlawanan dan pengurusan pemain dijangka menjadi penentu utama dalam fasa akhir liga yang padat.

Katanya, Selangor menunjukkan perkembangan positif sejak kehadiran jurulatih baharu, Kim Pan Gon, yang berjaya memberi nafas baharu kepada corak permainan pasukan itu.

“Selangor nampak semakin kemas dan yakin. Mereka mula mengorak langkah dengan beberapa kemenangan penting.

“Kehadiran jurulatih berpengalaman jelas memberi impak besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Azlan menegaskan Kuching City tidak boleh dipandang ringan apabila menyifatkan kelab dari Sarawak itu sebagai antara pasukan paling konsisten musim ini.

“Jika dibandingkan dengan KL City, Kuching City lebih stabil. Mereka jarang melakukan kesilapan besar dan tahu bagaimana mengurus perlawanan penting,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azlan melihat pertemuan penting antara Selangor dan Kuching City pada 22 Februari ini, menjadi titik penentu serta peluang kedua-dua pasukan bagi merebut tempat kedua.

“Saya lihat perlawanan itu 50-50. Jurulatih kedua-dua pasukan sudah tahu kekuatan dan kelemahan masing-masing. Ia bergantung kepada persiapan taktikal dan mental pemain,” katanya.

Tambah beliau, penggiliran pemain yang bijak serta kemudahan pemulihan yang lengkap memberi kelebihan kepada pasukan untuk mengekalkan prestasi sehingga hujung musim.

“Konsistensi ini bukan hanya terletak pada jurulatih, tetapi pengorbanan pemain. Jika pemain jaga disiplin dan ikut perancangan, peluang untuk menamatkan liga di tempat kedua sangat cerah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×