JKM sasar tambah 20 PAWE baharu tahun ini

JKM sasar tambah 20 PAWE baharu tahun ini

CHE MURAD SAYANG RAMJAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyasarkan untuk menambah kira-kira 20 buah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) baharu sepanjang tahun ini dalam usaha memastikan kebajikan golongan itu terbela sepenuhnya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, ketika ini, terdapat sebanyak 217 PAWE di seluruh negara yang melibatkan seramai 49,000 warga emas.

“Cadangan kita (JKM) ialah untuk menambah sekurang-kurangnya 20 PAWE lagi tahun ini, tetapi, ia bergantung kepada jumlah peruntukan yang ada.

“Untuk pengetahuan, setiap PAWE yang ditubuhkan ini akan menerima geran sebanyak RM50,000 bagi melaksanakan aktiviti serta menampung kos operasi pusat aktviti masing-masing,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Semarak Sejahtera Warga Emas yang disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek di PAWE Nibong Tebal, Sungai Acheh di sini, hari ini.

Difahamkan, seramai 72 warga emas berdaftar dengan PAWE Nibong Tebal ketika ini selepas jawatankuasa pusat aktiviti tersebut dibentuk bermula Oktober tahun lepas.

Mengulas lanjut, Che Murad Sayang memberitahu, konsep asas PAWE ialah untuk memberi kemudahan kepada warga emas dalam menjalankan aktiviti bersama komuniti dengan menekankan beberapa elemen program yang berteraskan komuniti, intergenerasi dan interaktif.

Jelas beliau, PAWE juga berperanan untuk mempelbagai serta memperluaskan kemudahan-kemudahan tertentu demi kesejahteraan warga emas selain membantu meningkatkan kualiti hidup mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain PAWE biasa, terdapat juga PAWE 3A iaitu ‘Anywhere, Everywhere dan Anytime’ yang diwujudkan khas bagi membantu komuniti yang tidak mempunyai premis khusus untuk menjalankan aktiviti warga emas tetapi boleh berbuat demikian melalui kerjasama dengan pihak lain seperti masjid, surau dan lain-lain.

“Untuk kategori PAWE 3A ini pula, kita beri geran peruntukan sebanyak RM20,000 supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pendampingan sosial dan pembangunan warga emas bersama komuniti setempat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×