PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa meletakkan jawatan sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ekoran gagal memulihkan keharmonian parti dan terbabit dalam isu yang didakwa mencemarkan imej parti.
Ketua Bahagian Bersatu Raub, Datuk Mohd. Fakruniam Ibrahim berkata, gesaan itu dibuat secara sebulat suara menerusi dua Mesyuarat Khas Bahagian yang diadakan pada 1 November 2025 dan 31 Januari lalu dengan kehadiran majoriti ahli jawatankuasa.
“Mesyuarat berkenaan turut meluluskan beberapa ketetapan lain termasuk menggesa Datuk Seri Azmin Ali dipecat serta-merta daripada jawatan Setiausaha Agung parti manakala Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula diminta meletakkan jawatan.
“Selain itu, Bersatu Raub memutuskan supaya Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dipecat serta-merta atas dakwaan mencetuskan ketidakharmonian serta perpecahan dalam kalangan kepimpinan dan ahli parti,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Mohd Fakruniam berkata, gesaan supaya Muhyiddin berundur juga dibuat susulan penglibatan beliau dalam kes rasuah Jana Wibawa yang sedang dibicarakan di mahkamah selain beberapa isu lain yang dibangkitkan di Parlimen.
“Usul pemecatan Azmin pula dibuat berikutan dakwaan isu moral susulan video seks luar tabii melibatkan beliau yang didakwa berlaku di Sandakan, Sabah yang telah menjejaskan imej parti di mata ahli dan masyarakat.
“Sementara itu, gesaan peletakan jawatan Ahmad Faizal berkait dengan kenyataan-kenyataan beliau yang didakwa menekan ketua-ketua bahagian serta ahli Parlimen yang menegur kepimpinan parti,” katanya.
Menurut Mohd. Fakruniam, gesaan pemecatan Tun Faisal dicadangkan susulan dakwaan telah mewujudkan permusuhan dan perpecahan dalam kalangan ahli Bersatu.
“Natijah daripada peristiwa-peristiwa ini, kami telah hilang kepercayaan, hormat dan kesetiaan kepada Presiden parti. Ketetapan ini diambil demi menjaga akidah, akhlak dan iman kami,” katanya. – UTUSAN










