SESIAPA sahaja yang bertemu dengan wanita kecil molek ini, pasti tidak menyangka Ieja Hindun Salleh, 42, adalah pemilik lima hotel termasuk dua yang bertaraf empat bintang di Pulau Pinang dan juga Selangor.
Orangnya suka merendah diri, peramah dan mudah menghulurkan bantuan kepada pelanggan. Ini termasuk ketika berada di lobi hotel membuatkan ramai yang tidak tahu wanita itu adalah di sebalik tonggak kejayaan rangkaian hotel di bawah jenama The Blanket Hotel Sdn. Bhd.
Bermula pada 2013, Ieja sendiri tidak menyangka, jenama The Blanket Hotel Sdn. Bhd. kini mampu memiliki dan menguruskan lima buah hotel bertaraf dua hingga empat bintang di Pulau Pinang dan juga di Selangor.
Menurut ibu kepada Sabrina Amanda, 14, dan Sabrina Ariana,9, The Blanket Hotel Sdn. Bhd. kini memiliki dan menguruskan The Merlin Hotel (Cawangan Pulau Pinang dan Kajang), The Blanket Hotel (Seberang Jaya), Bahang Bay Hotel (Teluk Bahang) dan Vouk Hotel Suites (Jalan Sultan Ahmad Shah).
Ieja yang bergelar Pengarah The Blanket Hotel memberitahu, perjalanannya sebagai ‘hotelier’ bermula pada usia 19 tahun di mana dia mendapat peluang untuk bekerja di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Langkawi.
“Pada usia itu, saya mula jatuh cinta dengan industri perhotelan kerana saya melihat industri ini mengajar pekerja-pekerjanya untuk menjadi lebih positif dan sentiasa memperbaiki diri.
“Saya juga berminat untuk mendalami Bahasa Inggeris, ketika saya bekerja di hotel ini, penguasaan Bahasa Inggeris saya bertambah baik kerana saya berkomunikasi dengan pelanggan menggunakan bahasa berkenaan.
‘’Ketika di sana juga, saya melihat pasukan hotel yang sentiasa cantik dan kemas, bagi saya bidang ini memang sesuai dengan jiwa saya yang suka melihat perkara positif dan cantik,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Ieja berkata, sepanjang bertugas sebagai di lima buah hotel, dia pernah ‘menjaga’ keperluan individu-individu ternama termasuk sultan, Raja-Raja, artis antarabangsa dan lain-lain lagi dan perkara itu menguatkan azamnya untuk memperbaiki diri.
“Ketika menjaga mereka, saya sering bertanya kepada diri, mengapa saya tidak mahu tingkatkan diri sehingga saya sendiri boleh dilayan seperti itu.
“Saya sentiasa mencari peluang menambah ilmu dengan menyertai seminar-seminar keusahawan, kursus jangka pendek dan sebagainya untuk menambah ilmu pengetahuan sebagai persediaan untuk meneroka industri perhotelan,” katanya.
Tubuh hotel patuh syariah
Anak kedua daripada empat beradik ini memberitahu, selepas lebih 15 tahun mengumpul pengalaman dalam bidang pemasaran dan hospitaliti di hotel-hotel, pada tahun 2013 dia memberanikan diri untuk menubuhkan The Blanket Hotel Sdn. Bhd.
“The Blanket Hotel ini merupakan kerjasama antara saya dan juga seorang rakan, Khalid Nasar Habib yang merupakan seorang akauntan.
“Rakan kongsi saya mempunyai pengalaman luas sebagai akauntan dan saya sendiri ada kepakaran dalam bidang pengurusan hotel, jadi gandingan kami inilah yang bergerak memulakan jenama The Blanket Hotel Sdn. Bhd,” katanya.

Ieja memberitahu, bukan mudah pada mulanya untuk menyakinkan pelanggan terhadap jenama berkenaan apatah lagi hotel yang dimiliki serta diuruskannya adalah hotel patuh syariah dan mesra Muslim.
Tambahnya, dia mahu menjadikan semua hotel di bawah jenama berkenaan sebagai hotel patuh syariah dan mesra Muslim kerana dia sendiri pernah menghadapi dilema kerana perlu membuka tudung ketika bertugas.
“Saya faham sukarnya gelodak jiwa wanita bertudung yang terpaksa membuka tudung ketika bertugas di hotel jadi apabila saya jadi pemilik hotel saya benarkan semua staf saya bertudung dan menunaikan kewajipan mereka sebagai umat Islam.
“Kini saya ada kira-kira 200 kakitangan termasuk wanita bertudung, bagi saya tudung bukan penghalang untuk wanita bertugas di dalam industri perhotelan,” katanya.
Tambah Ieja, perjalanannya di dalam industri yang mencabar itu bermula dengan sebuah hotel bajet untuk pengembara di Lebuh Penang iaitu Hotel Merlin, di mana di situ dia banyak belajar untuk memenuhi keperluan pengembara.
“Selepas berjaya dengan Hotel Merlin, saya dan rakan kongsi mula mengorak langkah untuk mengembangkan lagi jenama The Blanket Hotel.
“Pada masa ini kami berjaya memiliki dan menguruskan dua buah hotel bertaraf empat bintang iaitu Bahang Bay Hotel (Teluk Bahang) dan Vouk Hotel Suites (Jalan Sultan Ahmad Shah) dan kami merancang mengembangkan lagi perniagaan dengan menguruskan hotel bertaraf lima bintang pula selepas ini,” katanya.

Ieja berkata, sebaik sahaja terjun ke bidang perhotelan, dia sedar masanya bersama keluarga akan berkurangan memandangkan bidang operasi hotel memerlukan 24 jam untuk dia sentiasa bersiap sedia berdepan dengan pelbagai kemungkinan.
Oleh itu, katanya, dia amat bersyukur kerana suami, Shahrir Abdul Shukor, 43, amat memahami dan menjadi tonggak keluarga ketika dia bertugas menguruskan hotel-hotel berkenan.
Selain itu, Ieja berkata, ahli keluarga yang lain seperti bapanya, Salleh Cha, 76, amat menyokong dan sering memberi nasihat ketika dia amat memerlukan seorang pendengar.
“Walaupun saya telah berusia 40-an, bapa saya akan telefon tiga hari sekali bertanyakan khabar dan pada dia saya meluahkan segalanya, saya bersyukur saya dikurniakan keluarga, suami dan anak-anak yang memahami,” katanya.
Tambah Ieja, sebagai wanita dia berpegang kepada prinsip bahawa tiada batasan untuk seorang wanita itu untuk berjaya.
“Wanita tidak boleh letak batas bahawa mereka hanya seorang isteri atau ibu semata-mata.
“Ini kerana wanita boleh jadi apa sahaja yang mereka inginkan dengan syarat mereka mahu berubah dan membaiki diri,” katanya.
Tambahnya, walaupun pada masa ini dia telah memiliki rangkaian hotel sendiri, dia juga masih berusaha menambah ilmu dengan mengikuti kursus dan seminar bagi meningkatkan keupayaan diri kerana baginya ilmu tidak pernah habis untuk digali.









