MUKADIMAH
Perpecahan politik Melayu dilihat semakin meruncing apabila landskap politik negara kini didominasi tiga gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). Situasi ini menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan dominasi politik Melayu dan kestabilan negara.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, TAN SRI NOH OMAR berpandangan penyatuan semula parti Melayu melalui satu gabungan besar adalah keperluan mendesak terutama kerjasama antara PN dan BN, bersama sokongan rakan di Sabah dan Sarawak, mampu mengembalikan kekuatan politik seperti era Barisan Nasional dahulu.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL bersama Jurufoto AFIQ RAZALI dan juruvideo, MOHD. FIKRI FADZIL, Noh turut mengupas isu kerjasama politik, risiko pertembungan tiga penjuru, persempadanan semula kawasan pilihan raya serta cabaran dalaman parti, selain menyentuh isu-isu semasa membabitkan sensitiviti orang Melayu.
HIDUPKAN SEMANGAT SEPERTI BN DAHULU
MINGGUAN MALAYSIA: Dalam keadaan parti Melayu yang berpecah, mungkinkah satu kerjasama gabungan boleh dibentuk untuk penyatuan ummah?
Saya lihat sejarah sedikitlah. Kalau kita lihat dulu waktu kita lepas merdeka kita ada parti perikatan dianggotai banyak parti yang bergabung, kemudian menjadi Barisan Nasional (BN) yang turut disertai Pas, kecuali DAP yang jadi pembangkang. Jadi, saya ingat semangat ini kita kena hidupkan balik kalau kita mahu tengok dominan. Dominan bukan sahaja Melayu dominan tetapi juga melibatkan kaum lain macam semangat BN dulu.
Tapi oleh kerana sekarang ini kita sudah berpecah, kalau kita lihat ada parti yang dominan ini ada tiga parti gabungan iaitu Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan juga BN.
Kalau kita hendak kuatkan balik Melayu kembali dominan bersama dengan kaum lain, saya nampak PN mesti kena bergabung semula dengan BN dan disertai rakan-rakan di Sabah dan Sarawak. Ini telah pun terbukti masa lepas PH jatuh dulu.
Maka, kita harap pemimpin-pemimpin utama PN, BN ini kena duduk berbincang untuk kembalikan satu parti dominan dan barulah boleh kembalikan kekuatan politik dalam negara kita.
ELAK 3 PENJURU
Untuk PN, BN bergabung memerlukan kesungguhan politik, dan kerjasama tidak akan berjaya jika tidak disokong pimpinan tertinggi, komen Tan Sri?
UMNO katanya mahu pergi solo. Tetapi pengalaman saya terutama di Selangor ataupun di Pantai Barat, kalau berlaku pertandingan tiga penjuru, ertinya PN letak calon, BN letak calon dan PH letak calon akhirnya yang akan menang adalah PH.
Di Selangor, jika bertemu dua penjuru sahaja saya nampak sekurang-kurangnya 12 parlimen kita boleh menang. Ini kawasan majoriti Melayu. Katalah BN kalau tidak mahu kerjasama dengan PN, dan hendak bersama juga dengan PH, tidak mengapa. Paniknya cuma jangan bertemu tiga penjuru kerana yang akan menang adalah PH dan tidak ada parti yang akan dominan seperti PRU15 lalu.
Namun apa yang saya bimbang jika berlaku persempadanan semula, kalau ikut ramalan Mac ini. Jadi, kalau ini berlaku bukan saja di Selangor tapi juga di beberapa negeri, maksudnya kerajaan sekarang boleh susun. Boleh jadi Melayu maksimum 60 peratus dalam satu-satu kawasan parlimen.
Bayangkan kalau ini berlaku, kalau Melayu pecah tiga lagi habis. Parti Melayu tidak ada peluang menang dan PH mungkin akan terus menjadi kerajaan. Jadi, kita berharap semangat seperti gabungan BN dahulu, untuk kita kembali jadi dominan.
MASALAH BEREBUT KERUSI
Dalam mahu selesaikan isu untuk bekerjasama itu, masalah hubungan dalam parti gabungan itu sendiri macam mana pula?
Masalah kita adalah kerana berebut kerusi. Ada parti ini hendak kerusi sekian banyak. Saya punya pandangan, sekarang kalau hendak berbincang, kita kena ubah. Jangan berebut kerusi. Kita bincang jawatan. Kalau kata menang, siapa jadi Perdana Menteri? Parti mana jadi Perdana Menteri? Siapa jadi Timbalan Perdana Menteri? Berapa menteri mahu susun? Yang penting kuasa kita.
Kalau kita ada persetujuan macam itu kita tidak perlu berebut kerusi ini. Kalau berebut kerusi, masing-masing mahu bertanding banyak, akhirnya kita kalah.
Tidak takut jika pengkhianatan atau pun tikam belakang berlaku bila hendak membentuk kerajaan itu?
Kalau mahu buat perbincangan ini sebaiknya supaya tidak berlaku orang kata last minute ada parti lari. Katalah kita sudah bagi-bagi kita sudah bincang katalah satu parti itu menang 40, ini menang 30, tidak ada siapa yang boleh tubuh kerajaan. Tiba-tiba dalam pakatan kita, ada yang lari menyokong sebelah sana, jadi tidak ada makna perbincangan.
Sebaiknya, kalau kita tidak mahu ada berlaku macam itu, kena pakat tubuhkan gabungan ini dengan lebih awal dan kalau lebih baik gunakan simbol baru untuk bertanding.
Ini secara peribadi memang saya cukup bimbang jika perkara ini berlaku. Kalau kita lihat dulu No Anwar, No DAP sudah berlaku. Kemudian berlaku di PRN Sabah. Jelas-jelas BN kata takkan bersama GRS. Tiba-tiba bila mahu jadi kerajaan bersama dengan GRS. Jadi, yang lepas ini kena jadikan iktibar. Kita mesti lihat ke hadapan bagaimana kita mahu menjadikan negara aman dan tidak berlaku kekecohan politik.
Dalam Bersatu sendiri tidak bersatu dengan ada pelbagai kumpulan, jadi bagaimana mahu bergabung dengan lebih banyak parti lain?
Dalam politik ini kalau kita lihat tidak ada parti yang tidak ada masalah. Masing-masing ada pandangan, ada pandangan berbeza tetapi yang saya percaya apa juga masalah dalam parti ini akhirnya akan boleh kita selesaikan secara dalaman.
Saya nampak macam PN, saya yakin akan dapat diselesaikan dengan cara terbaik. Kita harap tidak akan jejaskan menuju pilihan raya.
USAHA PECAHKAN MELAYU
Pandangan Tan Sri mengenai URA dan juga isu pilihan raya PBT dan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dibangkitkan pemimpin DAP?
DAP ini bukan parti perkauman bagi saya sebab dalam DAP pun ada Melayu, India, Cina, ada pelbagai bangsa. Tetapi dalam perjuangan mana-mana parti ia tergantung kepada perlembagaan.
Kita kena baca perlembagaan DAP ini, yang mahu kesamarataan, negara sekular.
Kalau dulu mereka mempertikaikan secara terang hak Melayu, Perkara 153, itu dulu sehingga orang Melayu melihat DAP sangat perkauman. Tetapi sekarang ini cara DAP melaksanakan untuk mencapai matlamat. Mereka tidak mempertikaikan hak kita, tetapi mereka hendak buat perlahan-lahan dalam mencabar hak itu. Contohnya dalam isu UEC yang sudah lama kita tolak.
Dalam perjuangan DAP, kita kena ingat, mereka memang hendak mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan, itu memang perjuangan mereka. Dari dahulu kita tidak bersetuju. Jadi, apa kaedah DAP buat?
Saya tengok dua pendekatan baru yang dibuat, yang pertama, hendak pinda Akta Ibu Kota 1960. DAP mahu pinda bahawa setiap Ahli Parlimen di dalam Wilayah Persekutuan berhak melantik dua orang Ahli Majlis. Jadi bayangkan, di Wilayah Persekutuan, siapa yang ramai menjadi ahli Parlimen? Kalau satu ahli parlimen lantik dua orang, sudah tentu mereka yang akan mengawal
Yang kedua, baru-baru ini cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur. Sekarang ini, bila pilihan raya Datuk Bandar ini, situasi akan lain. Sebab bila dipilih oleh rakyat, kuasanya lain, kuasa politik
Sebab bila dia ini, Datuk Bandar, dipilih di atas kena rakyat, kuasanya lain. Kuasa politik. Sebab selama ini Datuk Bandar atas lantikan, jawatan kerajaan.
Tapi apabila sudah berjawatan dalam politik, tiada siapa boleh sentuh. Ada kuasa sendiri. Sebab apa mereka berani buat, sebab lihat kita berpecah, lemah dan harap ada parti Melayu menyokong mereka.
Saya juga berpandangan tidak perlu kajian dibuat, hentikan sahaja. Kena jaga sensitiviti orang Melayu. Sebagai bekas menteri KPKT, cadangan ini tidak perlu kajian. Biar kekalkan apa yang ada hari ini.
PENCEMARAN KANDANG BABI
Pandangan Tan Sri mengenai isu ladang babi di Selangor?
Pertama, saya ingat ladang babi ini, kalau boleh tutup, tutuplah. Kita import sahaja, seperti Singapura, mana ada ladang babi, ladang ayam atau lembu, boleh hidup sahaja. Atau lagi satu kalau mahu bela juga macam di Selangor ini, bela dekat Kampung Baru Cina. Ada dalam 30 kalau tidak silap di Selangor ini. DAP mahu jadikan warisan UNESCO, jadi alang-alang apa salahnya?
Isu ini juga tiada kaitan politik, sebab bantahan penduduk, kerana kawasan mereka tercemar. Ini isu alam sekitar, pencemaran air sungai, bau dan sebagainya. Jadi, kita boleh import kalau daging lembu pun kita boleh import dari luar kita boleh perbanyakkan kuota untuk import. – MINGGUAN MALAYSIA










