KUALA LUMPUR: Kegiatan dua sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan tempatan berjaya ditumpaskan polis menerusi operasi khas yang dijalankan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket berkenaan ditumpaskan selepas enam individu termasuk dalang utama berjaya ditahan.
Katanya, kejayaan itu hasil risikan berterusan dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dadah yang menjadikan Malaysia sebagai hab transit dan pasaran.
Hussein berkata, menerusi Op Apiocera, sindiket dadah berkenaan dikesan menjadikan kediaman mewah sebagai stor penyimpanan dadah sintetik.
Hasil serbuan di lokasi berasingan di Kepong dan Subang Jaya dekat sini, dadah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM180 juta turut dirampas.
“Hasil pemeriksaan, polis menemukan lambakan dadah yang sedia untuk diedarkan.
“Siasatan mendapati sindiket ini didalangi seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ketua sindiket selain dibantu seorang wanita warga asing yang juga kekasihnya.
“Lelaki terbabit berperanan menguruskan gerak kerja pengedaran dadah untuk pasaran tempatan dan luar negara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini semalam.
Menurut Hussein, pihaknya turut menyita tiga kenderaan mewah.
Menerusi Op Allograpta yang dilancarkan pada 30 Januari lalu pula, sindiket penghantaran dadah jenis Methamphetamine seberat 265 kilogram bernilai RM13.25 juta telah berjaya dipintas.
Jelasnya, tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 40 hingga 48 tahun ditahan dalam serbuan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah, Pahang dan di kawasan parkir sekitar Kuchai Lama, Kuala Lumpur.
“Ahli sindiket menggunakan kereta sewa membawa dadah dari Kelantan ke Lembah Klang. Kenderaan itu kemudiannya ditinggalkan di parkir tertentu sebelum diambil ahli sindiket lain tanpa perlu bersua muka,” jelasnya.-UTUSAN.









