KEPALA BATAS : Pengoperasian kilang INV New Material Technology (M) Sdn. Bhd. (INV) di Taman Teknologi Pulau Pinang (PTP) di Bertam di sini sejak pertengahan tahun lepas berupaya mengukuhkan status Kepala Batas sebagai hab industri berteknologi tinggi di Pulau Pinang.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas meluangkan masa meninjau operasi kilang tersebut, hari ini.
Beliau berkata, kewujudan INV yang menjadi antara peneraju utama dalam industri pemisah bateri litium global ketika ini juga secara tidak langsung turut merancakkan ekonomi setempat sekali gus membuka lebih banyak ruang serta peluang pekerjaan kepada penduduk terutamanya generasi muda di sini.
“Daripada 460 orang kakitangan yang ditempatkan di sini, seramai 155 daripada mereka adalah anak Kepala Batas dan (daripada) 155 ini pula, ada yang juga tak kurang hebatnya apabila bekerja sebagai jurutera dengan pendapatan yang bagus. Ada RM7,000 dan ada yang RM8,000 (tangga gaji).
“Jadi, saya nampak sebenarnya, kehadiran kilang-kilang seperti ini bukan hanya memberi kenaikan ekonomi kepada negara dan meluaskan ‘lantai’ kekayaan kepada negara, tetapi, yang lebih penting ialah, ia menguntungkan penduduk di Kepala Batas itu sendiri,” katanya.

INV yang juga merupakan anak syarikat Shenzhen Senior Technology Material Co. Ltd itu sebelum ini melabur kira-kira RM3.2 bilion untuk membangunkan projek fasa pertama kilang itu di Bertam iaitu di atas tanah berkeluasan kira-kira 26.7 hektar.
Difahamkan, projek fasa kedua yang juga menelan kos RM3.2 bilion dijangka bermula tahun depan dan apabila ia siap sepenuhnya kelak, dianggarkan kira-kira 1,200 peluang pekerjaan akan dibuka untuk direbut khususnya oleh anak-anak tempatan.
Ketika ini, kilang INV yang dibangunkan di Bertam itu merupakan kilang bagi industri pemisah bateri litium global pertama di Asia Tenggara selepas China.
Sementara itu, Reezal Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam melihat pelaburan tersebut juga selari dengan perkembangan industri tenaga hijau global yang menyaksikan peningkatan penggunaan bateri bagi kenderaan elektrik (EV), sistem penyimpanan tenaga serta pelbagai peralatan elektronik.
“Ini adalah antara projek yang akan membawa kemakmuran kepada kawasan Kepala Batas dan kebanyakan projek yang dibangunkan ini juga adalah untuk dinikmati untuk generasi yang akan datang,” ujar beliau.-UTUSAN










