KKM tidak daftar pil miso, menjualnya satu kesalahan

KKM tidak daftar pil miso, menjualnya satu kesalahan

PIL jenis Misoprostol atau Miso banyak dipromosi di media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) merampas hampir 11,000 tablet misoprostol atau pil miso, bahan pembungkusan dan bukti transaksi dalam tindakan penguatkuasaan berterusan bagi membanteras penjualan ubat tidak sah.

Program Perkhidmatan Farmasi KKM berkata, rampasan melibatkan tindakan susulan merangkumi siasatan dan pendakwaan terhadap pihak terlibat sebagai langkah tegas menangani kegiatan berkenaan.

Malah, sepanjang tempoh 2020 hingga 2025, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melaksanakan tindakan penguatkuasaan berterusan ter­hadap penjual produk misoprostol yang beroperasi secara tidak sah.

Katanya, tindakan tersebut melibatkan sebanyak 34 serbuan hasil daripada aduan, risikan dan pemantauan berfokus di premis fizikal serta saluran jualan dalam talian.

“Hasil tindakan itu, hampir 11,000 tablet misoprostol dirampas bersama bahan pembungkusan serta bukti transaksi.

“Dalam tempoh sama, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi merekodkan 34 aduan berkaitan penjualan misoprostol pada 2025.

“Sebanyak 14 aduan direkodkan masing-masing pada 2023 dan 2024, manakala dua aduan direkodkan setakat awal tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, semua aduan berkenaan melibatkan platform dalam talian dan media sosial, sekali gus menunjukkan saluran digital kekal sebagai medium utama penjualan tidak sah.

Katanya lagi, penjualan produk tidak berdaftar melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama serta boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

“Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan berikutnya, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam masa sama, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi turut menjalankan aktiviti saringan dan pemantauan berterusan terhadap iklan ubat-ubatan serta perkhidmatan kesihatan melalui pelbagai saluran media.

Ia melibatkan media cetak, media elektronik serta media baharu termasuk platform e-dagang dan media sosial seperti Lazada, TikTok dan Shopee.

Usaha tersebut dilaksanakan bagi memastikan penyiaran iklan serta penjualan ubat-ubatan mematuhi peruntukan undang-undang termasuk Akta Jualan Dadah 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

“Berdasarkan statistik sari­ngan, sebanyak 31,854 saringan dijalankan pada tahun 2021 melibatkan media cetak sebanyak 9,006, media elektronik 746 dan media baharu 22,102.

“Jumlah saringan diteruskan secara konsisten dengan 24,475 saringan pada tahun 2022, diikuti 27,923 pada 2023 dan 27,953 pada 2024.

“Pada 2025, jumlah saringan meningkat kepada 30,769 dengan sebahagian besar melibatkan media baharu, mencerminkan peralihan ketara aktiviti pengiklanan dan penjualan ubat-ubatan ke platform digital,” katanya.

Bagi mengekang penyebaran kandungan berkaitan ubat tidak sah, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melaksanakan beberapa mekanisme termasuk mengeluarkan notis menurunkan kandungan di platform e-dagang.

Selain itu, permohonan sekatan akses laman sesawang dibuat melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan permohonan penurunan kandungan juga dilaksanakan di media sosial melalui portal permohonan rasmi setiap platform. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×