APMM rampas minyak mentah bernilai RM512 juta

APMM rampas minyak mentah bernilai RM512 juta

MUHAMMAD Suffi Mohd Ramli (duduk, tengah) bersama peserta Majlis Latihan Menembak Bersama Rakan Strategik serta Rakan Media sempena Ulang Tahun ke-21 Maritim Malaysia di Lapang Sasar FRU di Padang Tembak, George Town, Pulau Pinang. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Taktik licik sindiket menggunakan kawasan `titik buta’ (blind spot) bagi memindahkan minyak mentah secara haram terbongkar selepas dua kapal tangki mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang pada 29 Januari lalu.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kegiatan pemindahan minyak dari kapal ke kapal itu berjaya dikesan walaupun ia dilakukan di kawasan perairan tanpa liputan pemantauan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, minyak mentah tersebut dipercayai berasal dari Iraq selepas semakan dibuat bersama syarikat perkapalan berkaitan.

“Pemindahan melibatkan kapal tangki bersaiz besar atau super tanker dan dipercayai dirancang mengambil masa kira-kira empat hari. Bagaimanapun, operasi penguatkuasaan berjaya dijalankan pada hari kedua menggagalkan cubaan tersebut,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Latihan Menembak Bersama Rakan Strategik serta Rakan Media sempena Ulang Tahun ke-21 Maritim Malaysia di Lapang Sasar FRU, Padang Tembak di sini.

Muhammad Suffi tidak menolak kemungkinan aktiviti itu pernah dilakukan sebelum ini memandangkan lokasi terbabit dikenal pasti sebagai kawasan ‘blind spot’ dan APMM memandang serius risiko pencemaran sekiranya berlaku tumpahan minyak di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, bot peronda Maritim menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan sekitar pukul 1 pagi apabila mengesan dua kapal tangki bersauh kira-kira 24 batu nautika barat laut Muka Head dan disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak.

Katanya, pemeriksaan mendapati, kedua-dua kapal tersebut melibatkan 53 kru warga asing dengan nilai rampasan minyak mentah dianggarkan lebih RM512 juta, manakala nilai dua kapal tangki itu pula dianggarkan RM718 juta.

“Dua kapten bersama kedua-dua kapal ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×