TIME slice merupakan salah satu teknik fotografi kreatif yang menggabungkan beberapa foto dari lokasi yang sama, tetapi diambil pada waktu yang berbeza, seperti dari siang ke malam, ke dalam satu imej atau video.
Teknik ini menampilkan pergerakan masa dengan cara ‘menjahit hirisan vertikal atau horizontal dari setiap gambar secara bersambung.
Hasilnya ialah visualisasi perubahan dinamik dalam cahaya dan aktiviti, yang sering digunakan dalam landskap bandar atau pemandangan semula jadi.
Menurut Ahmad Mustaqim bin Ahmad Termizi, pelajar tahun akhir Jabatan Fotografi dan Pengimejan Kreatif, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Cawangan Perak, teknik ini memerlukan persiapan rapi dan penggunaan peralatan yang stabil, terutama tripod.

“Cabaran utama dalam menghasilkan imej time slice adalah perubahan cuaca yang tidak menentu. Proses mengambil masa kira-kira dua jam, dan cuaca kadangkala berubah, menyebabkan kesukaran dalam mendapatkan kesinambungan cahaya yang konsisten,” jelas beliau.
Selain itu, beliau menekankan teknik ini menuntut tahap kesabaran yang tinggi serta kepekaan terhadap persekitaran.
“Anda perlu memantau bateri kamera, ruang storan kad memori, dan kedudukan tripod sepanjang sesi penggambaran.
“Kadangkala gangguan luar seperti orang lalu lalang atau objek yang tidak dijangka boleh menjejaskan komposisi imej,” kata Ahmad Mustaqim.

Proses penyuntingan imej juga memerlukan kepakaran tersendiri. Perisian seperti Adobe Photoshop atau After Effects digunakan untuk menyusun lapisan gambar, membuat topeng (masking) pada bahagian tertentu, dan menghasilkan komposit akhir yang lancar.
Setiap ‘slice’ daripada foto yang diambil di waktu berbeza perlu diseimbangkan supaya perubahan cahaya dan aktiviti kelihatan semula jadi.
Dengan terus mengasah kemahiran, jurufoto dapat menghasilkan karya time slice yang bukan sahaja menarik dari segi estetika, tetapi juga memaparkan dinamik alam dan kehidupan sekeliling dengan cara yang unik dan menyentuh imaginasi penonton.











