Malaysia hanya miliki 184 pakar onkologi

Malaysia hanya miliki 184 pakar onkologi

DZULKEFLY Ahmad bercakap ketika sidang media selepas majlis sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan cabaran besar apabila hanya mempunyai 184 pakar dalam bidang onkologi bagi merawat pesakit kanser.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya mengakui pakar onkologi sedia ada tidak cukup untuk memberikan perkhidmatan secukupnya kepada pesakit kanser khususnya penduduk luar bandar.

Menurutnya, jumlah itu meningkat 60 peratus dari 2019 di mana Kementerian Kesihatan (KKM) 65 orang, sektor swasta (107 orang) manakala selebihnya dalam latihan.

“kita berdepan kekurangan tenaga pakar onkologi. Matriks ideal yang kita mahukan (belum tercapai). Atas dasar itulah saya menyebut tentang bagaimana kita menggunakan pendekatan kluster untuk mendapatkan pakar di hospital utama.

“Ini supaya hospital utama dapat memberikan khidmat kepada hospital daerah atau hospital tidak berpakar dan mengambil kira ‘care model’ yang bukan sahaja di hospital, tetapi juga ‘closer to home’,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 di sini, hari ini.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, program Wiran Kanser yang menggunakan pendekatan ‘closer to home’ diperkenalkan hari ini bertujuan merapatkan jurang akses untuk golongan B40 dan penduduk luar bandar agar saringan serta rawatan awal dapat dilaksanakan dengan lebih meluas.

Tambahnya, Wiran Kanser hasil kerjasama dengan SBS Nexus dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) itu merupakan anjakan paradigma yang melibatkan naungan Keluarga Diraja untuk enam jenis kanser utama di Malaysia seperti payudara, kolorektal, paru-paru, servik, genitourinari serta kanser kanak-kanak.

Katanya, kerjasama strategik bersama 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga bagi memperkemas aktiviti pencegahan, kawalan penyakit dan penyampaian perkhidmatan sokongan kepada pesakit secara lebih bersepadu.

“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2025 melaporkan kanser sebagai kematian ketiga tertinggi di Malaysia, meningkat dari 13.8 peratus (2023) kepada 14.3 peratus (2024).

“Bagi menangani beban penyakit ini, KKM akan memfokuskan kepada empat inisiatif utama berkaitan pencegahan, promosi, advokasi dan saringan bagi tujuan pengesanan awal serta rawatan awal kanser antaranya melalui program Wiran Kanser,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya turut memperkenalkan Kempen Mai Kurang (Gula, Garam dan Kalori) yang menyasarkan penglibatan 150 syarikat dan Program Akses Nutrisi Kanser yang bertujuan meningkatkan akses kepada pemakanan dengan nutrisi mencukupi buat pesakit kanser bagi menyokong proses pemulihan mereka.

“Kajian menunjukkan peningkatan kes kanser berkait rapat dengan faktor pemakanan dan obesiti.

“Justeru, perjuangan melawan kanser pada 2026 ini mesti bermula dengan anjakan minda. Hospital adalah benteng terakhir, tetapi benteng pertama kita bermula di pinggan makan dan gaya hidup seharian.

“Kita tidak mahu hanya cekap merawat kanser, tetapi juga lebih cekap mencegahnya daripada berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×