Label tak lengkap, lebih tarikh luput antara kesalahan yang dikesan

Label tak lengkap, lebih tarikh luput antara kesalahan yang dikesan

DANIEL Gooi Zi Sen (dua dari kanan) diiringi oleh Pengarah JKNPP, Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin (dua dari kiri) melawat pameran pada Program Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan Tahun Baharu Cina (Ops Ma) 2026 di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Label pada produk makanan yang tidak lengkap seperti ketiadaan butir terperinci termasuk alamat pengimport dan tarikh luput dikenal pasti sebagai antara kesalahan yang sering dilakukan oleh segelintir peniaga makanan di negeri ini.

Malah, terdapat juga kes peniaga yang masih menjual makanan yang telah melepasi tarikh luput kepada pengguna, selain menggunakan pembungkus makanan yang telah rosak dan tidak lagi sesuai untuk dipasarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata,itu antara kesalahan yang dikesan hasil pemeriksaan dan pemantauan berterusan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ke atas pelbagai premis makanan di seluruh negeri ini sepanjang 2025.

“Isu lain yang sering dikesan ialah berkaitan aspek kebersihan makanan dan premis. Dalam hal ini, jika didapati makanan yang dijual atau disajikan itu tidak mematuhi piawaian, maka, tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan operasi pematuhan keselamatan makanan sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2026 atau dikenali sebagai Ops Ma 2026 di sebuah pusat beli belah di sini, hari ini.

Daniel berkata, sepanjang 2025 juga, JKNPP telah menerima sebanyak 475 aduan daripada orang awam berkaitan premis makanan dan daripada jumlah itu, 348 aduan melibatkan restoran dan kedai makan, diikuti 37 aduan terhadap warung atau gerai, 31 aduan melibatkan pasar raya dan 14 aduan berkaitan medan selera.

“Selain itu, sebanyak sembilan aduan diterima membabitkan kantin sekolah, dapur taska, prasekolah atau asrama, dua aduan terhadap perkhidmatan katering serta 25 aduan lain-lain premis,” katanya.

Jelas beliau, sepanjang Januari tahun ini pula, sebanyak 10 notis kompaun bernilai keseluruhan RM18,500 telah dikeluarkan oleh JKNPP atas pelbagai kesalahan khususnya melibatkan pengendalian makanan susulan 12 operasi pemeriksaan yang dijalankan bersama pelbagai agensi penguatkuasaan.

Katanya, sebanyak 145 produk makanan dengan nilai hampir RM700 juga disita untuk tempoh yang sama dan mahkamah turut mengenakan denda sebanyak RM15,000 terhadap pihak terlibat selepas ujian makmal mengesahkan berlaku pelanggaran di bawah Akta Makanan 1983.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×