JOHOR BAHRU: Laporan forensik penuh melibatkan enam rangka manusia yang ditemukan dalam sebuah rumah dalam kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, di sini akan diperoleh dalam tempoh satu atau dua bulan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, pihaknya sedang melengkapkan laporan-laporan berkaitan termasuklah laporan perubatan dan juga laporan kimia rangka-rangka terlibat.
“Setakat ini pihak polis tidak membuat sebarang tangkapan baharu selain dua suspek yang telah ditahan dan mendapat arahan untuk dituduh di mahkamah hari ini.
“Motif kepada kejadian juga saya tidak akan dedahkan di sini, biar perkara itu didedahkan di mahkamah semasa perbicaraan nanti,” katanya selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Johor antara Deputi Komisioner Polis Abdul Latif Mehat dan Asisten Komisioner Polis Kanan, Hoo Chuan Huat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Hari ini, dua beradik iaitu R. Utes, 36, dan R. Arasan, 32, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang merupakan salah seorang daripada enam rangka manusia ditemukan di rumah tinggal yang telah musnah akibat kebakaran tersebut.
Kedua-dua mereka didakwa menyebabkan kematian V. Thamil Selvan, 28, antara pukul 12.30 tengah malam hingga 4 pagi, pada 15 September 2025.
Semalam, beliau memberitahu penemuan rangka-rangka manusia di rumah tersebut telah membongkar kehilangan enam individu terdiri daripada seorang ibu berusia 35 tahun beserta empat anaknya masing-masing berusia 2, 5, 9 dan 17 tahun.
Satu lagi rangka ditemukan bersama lima sekeluarga itu adalah milik Thamil Selvan yang merupakan rakan kepada mangsa wanita dewasa berkenaan. – UTUSAN










