UiTM lancar satelit kedua, mampu kelilingi bumi dalam 90 minit

UiTM lancar satelit kedua, mampu kelilingi bumi dalam 90 minit

Satelit UiTM
UiTMSAT-2 dilancarkan ke orbit dari ISS yang disiarkan secara langsung dari TKSC, JAXA dan disaksikan di Canseleri UiTM, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) sekali lagi melakar sejarah apabila melancarkan nanosatelit keduanya yang dikenali sebagai UiTMSAT-2 ke ruang orbit dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), pada pukul 6.52 petang, hari ini.

Ia sebelum ini diterbangkan ke ISS menggunakan roket H3 F7 oleh Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) pada 26 Oktober tahun lalu pada pukul 8 pagi waktu Malaysia menggunakan roket H3 F7 dari Pusat Angkasa Tanegashima, dan berlabuh di sana empat hari kemudian.

Ketua Projek UiTMSAT-2, Dr. Fatimah Zaharah Ali berkata, nanosatelit itu mampu bergerak dengan kelajuan sehingga 7.6b kilometer (km) sesaat dengan kemampuan mengelilingi bumi dalam masa 90 minit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ia akan melakukan pemerhatian bumi serta misi sekunder Internet of Thing (IoT) berasaskan angkasa bagi penghantaran data penderia dari kawasan terpencil yang tidak mempunyai rangkaian sambungan darat.

“Satelit bersaiz sebesar tapak tangan itu menggunakan jalur frekuensi VHF-UHF amateur radio. Pembangunan UiTMSAT-2 bermula pada Februari 2021 dengan pembentukan model kejuruteraan di Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE).

“Ia melibatkan proses perolehan komponen, reka bentuk papan litar, integrasi subsistem dan pengujian fungsi sebelum ujian getaran dan keserasian elektromagnet (EMC) dilaksanakan di fasiliti Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di Banting,” katanya, ketika menyaksikan pelancaran yang disiarkan secara langsung dari Pusat Angkasa Tsukuba (TKSC), JAXA, hari ini.

Tambahnya, teknologi satelit itu membolehkan pemantauan orbit, komunikasi satelit serta latihan operasi sebenar kepada mahasiswa dan penyelidik.

Turut hadir, Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata UiTM merupakan institusi utama pembangunan nanosatelit itu dengan kerjasama strategik bersama University of Perpetual Help System DALTA, Filipina dan King Mongkut’s University of Technology North Bangkok, Thailand, serta Institut Teknologi Kyushu (Kyutech), Jepun sebagai penyokong teknikal.

“Pencapaian itu bukan sekadar kejayaan sains dan teknologi, tetapi simbol kekuatan UiTM dalam melahirkan bakat global dan memacu penyelidikan berimpak tinggi.

“UiTMSAT membuktikan universiti tempatan mampu menjadi peneraju dalam bidang angkasa dan inovasi masa depan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini