Kenapa nak usik Harimau Malaya?

Kenapa nak usik Harimau Malaya?

Skuad Harimau Malaya sedang melalui fasa kebangkitan dan tidak perlu dibabitkan dengan peletakan jawatan Exco FAM baru-baru ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Desakan agar pasukan pengurusan skuad kebangsaan melepaskan jawatan seperti mana Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal mengundang risiko terhadap Harimau Malaya.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, tumpuan pengurusan skuad kebangsaan ketika ini perlu diberikan kepada Harimau Malaya selepas badan induk bola sepak negara berdepan krisis.

Katanya, jika pengurusan skuad kebangsaan turut melepaskan jawatan, skuad kendalian Peter Cklamovski bakal berdepan masalah khususnya menjelang aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada Mac depan.

“Pada masa ini, bagi saya tidak wajar untuk pengurusan skuad kebangsaan meletakkan jawatan, mereka masih ada tugasan yang belum diselesaikan. Lagi pula, yang bersalah dalam hal ini bukan mereka 100 peratus.

“Yang bersalah dalam hal ini (pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya) adalah mereka yang terlibat dalam urusan pendaftaran, pada saya barisan pengurusan skuad kebangsaan ni hanya mengikut arahan sahaja.

“Jadi biarlah barisan Exco FAM sahaja yang lepaskan jawatan, jangan kaitkan mereka. Sekarang FAM diuruskan oleh jawatankuasa sementara dan AFC, jadi kalau letak jawatan juga siapa yang nak jaga Harimau Malaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

FAM pada Rabu lalu mengumumkan semua Exco badan induk itu bagi penggal 2025–2029 secara kolektif dan sukarela meletakkan jawatan mereka dengan serta-merta agi menyelamatkan bola sepak negara.

Tindakan itu juga bagi menyediakan ruang sewajarnya kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC untuk bebas menilai, meneliti dan jika perlu, menangani perkara berkaitan tadbir urus serta hal ehwal pentadbiran FAM.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menjelaskan pasukan AFC memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk melakukan penilaian terhadap keseluruhan sistem pengurusan FAM dengan proses itu bakal bermula esok.

Mengulas lanjut, Zulakbal berkata, peminat bola sepak tempatan kena bersikap matang kerana apa yang diinginkan Ketika ini ialah skuad Harimau Malaya terus berkembang dan bebas daripada sebarang hukuman FIFA.

“Pengurusan Harimau Malaya ini ada peranannya untuk urus pasukan dan jalankan perancangan untuk perlawanan dan sebagainya. Jadi, kita jangan tambah garam lagi pada luka. Cukup lah apa yang berlaku, biarkan Harimau Malaya ‘berjalan’ seperti biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×