KWSP dijangka umum dividen 2025 antara 5.5 hingga 6.3 peratus

KWSP dijangka umum dividen 2025 antara 5.5 hingga 6.3 peratus

KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen bagi tahun kewangan 2025 dalam julat 5.8 peratus hingga 6.3 peratus bagi kedua‑dua simpanan konvensional dan simpanan syariah, menurut penganalisis ekonomi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dividen KWSP bagi tahun kewangan 2025 akan diumumkan pada Mac 2026.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, walaupun prestasi pasaran dan ekonomi Malaysia kekal stabil, kadar 6.30 peratus kini berada di penghujung kitaran tertinggi dividen KWSP. 

Oleh itu, katanya, jangkaan iaitu sekitar 5.8 peratus hingga 6.3 peratus dianggap munasabah dan seimbang antara pulangan maksimum dan kelestarian jangka panjang.

“Faktor yang menyokong jangkaan ini termasuk komposisi portfolio KWSP yang besar melibatkan instrumen pendapatan tetap dan ekuiti yang defensif, hasil bon kerajaan Malaysia yang menjadi penanda aras serta falsafah KWSP yang menekankan pulangan mampan berbanding lonjakan pulangan yang tidak stabil.

“Jika kadar dividen jatuh di bawah 5.5 peratus, ia boleh dilihat sebagai kurang memadai dari segi melindungi kuasa beli pencarum. Sebaliknya, kadar melebihi 6.5 peratus dianggap kurang lestari berasaskan prestasi pasaran semasa.

“Justeru, kadar di sekitar 6.0 peratus dilihat sebagai titik tengah yang baik, mencukupi untuk memberikan pulangan menarik kepada pencarum sambil memastikan kewangan KWSP kekal stabil dalam jangka masa Panjang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Pada tahun kewangan 2024, KWSP telah mengumumkan kadar dividen 6.3 peratus bagi kedua‑dua simpanan konvensional dan syariah dengan jumlah agihan keseluruhan sebanyak RM73.24 bilion, sekali gus mencatat kadar tertinggi sejak 2017 malah, pelaburan KWSP juga meningkat sebanyak 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Sekolah Perakaunan dan Kewangan, Taylor’s Business School, Universiti Taylor’s, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, secara realistik, dividen KWSP bagi tahun ini dijangka berada dalam lingkungan 5.5 peratus hingga 6.0 peratus. 

“Kadar ini mencerminkan pasaran kewangan yang lebih stabil berbanding tempoh pandemik, walaupun masih dipengaruhi oleh faktor global seperti kadar faedah yang lebih tinggi dan ketidaktentuan geopolitik. 

“KWSP biasanya mengelak daripada mengejar dividen lebih tinggi sekiranya ia boleh menjejaskan kelestarian jangka panjang dana,” katanya. 

Menurut Paul, caruman yang lebih tinggi tidak semestinya membawa kepada dividen yang lebih tinggi.

“Dividen bergantung kepada pulangan pelaburan, bukannya jumlah wang yang masuk ke dalam dana. Sekiranya pasaran ekuiti atau bon global menunjukkan prestasi lemah, pulangan pelaburan akan terjejas walaupun caruman meningkat. 

“Tambahan pula, apabila saiz dana KWSP semakin besar, menjana pulangan tinggi secara konsisten menjadi lebih mencabar,” katanya. 

Jelasnya, prestasi ekonomi Malaysia mempengaruhi dividen KWSP melalui keuntungan syarikat tersenarai tempatan, prestasi pasaran ekuiti dan bon domestik, serta pergerakan kadar faedah dan inflasi. 

“Ekonomi yang stabil dan berkembang menyokong pulangan pelaburan KWSP, namun kesannya tidak bersifat segera, kerana KWSP melabur dengan horizon jangka panjang dan tidak bertindak balas secara drastik terhadap pergerakan pasaran jangka pendek,” katanya. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, kadar dividen KWSP bagi tahun lalu dijangka setara dengan tahun sebelumnya, iaitu 6.3 peratus, didorong peningkatan ketara prestasi pendapatan pelaburan serta keadaan pasaran global yang memberangsangkan.

Katanya, jangkaan itu berasaskan peningkatan pendapatan pelaburan kasar KWSP sebanyak 11 peratus bagi tempoh 11 bulan pertama tahun lalu, sekali gus mencerminkan pengurusan pelaburan yang berkesan dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar.

“Pasaran global menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya, dan ini memberi kesan langsung kepada pulangan pelaburan KWSP. Justeru, kadar dividen yang menarik berpotensi untuk diumumkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN