Pulau Pinang sokong pilihan raya PBT

Pulau Pinang sokong pilihan raya PBT

CHOW Kon Yeow sewaktu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Digital Penang dan HWD System di George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri kekal komited untuk memulihkan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), namun menyifatkan, perkara itu berada di luar bidang kuasa mereka kerana ia tertakluk kepada undang-undang Persekutuan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang paling awal memperjuangkan pemulihan pilihan raya PBT dengan meluluskan usul di Dewan Undangan Negeri (DUN) serta membawa isu tersebut ke Mahkamah Persekutuan bagi tujuan semakan kehakiman.

“Pulau Pinang adalah satu-satu negeri yang memperjuangkan pemulihan pilihan raya di pihak berkuasa tempatan, sehingga ada usul di DUN sampai membawa kes ke Mahkamah Persekutuan untuk semakan kehakiman (judicial review) tentang perkara ini.

“Pulau Pinang telah melalui semua halangan yang ada dalam usaha memulihkan pilihan raya PBT, namun halangan terakhir ialah keperluan pindaan undang-undang Persekutuan,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Digital Penang dan HWD System di sini, hari ini.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP memaklumkan, kajian sedang dijalankan bagi proses pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Pada 2012, DUN Pulau Pinang telah meluluskan enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan bagi mengadakan pilihan raya ahli majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Bagaimanapun, Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 2012 telahpun dideklarasikan sebagai ‘ultra-vires’ di peringkat Mahkamah Persekutuan, susulan ditolak oleh Kerajaan Pusat pada beberapa tahun lepas.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, langkah utama yang perlu dilakukan bagi membolehkan pilihan raya PBT diadakan ialah meminda Akta Kerajaan Tempatan khususnya peruntukan berkaitan kaedah pelantikan ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan.

Katanya, akta sedia ada hanya membenarkan kerajaan negeri melantik ahli-ahli majlis dan tidak memperuntukkan pelaksanaan pemilihan secara pilihan raya oleh rakyat.

“Sekiranya mahu melaksanakan pilihan raya PBT, klausa dalam Akta Kerajaan Tempatan perlu dipinda bagi membolehkan pemilihan dibuat secara pilihan raya dan bukan melalui pelantikan,” katanya yang memberitahu, Akta Kerajaan Tempatan merupakan undang-undang Persekutuan dan sebarang pindaan hanya boleh dilakukan di Parlimen dengan kelulusan majoriti mudah.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, pemilihan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak boleh disamakan dengan Pulau Pinang kerana DBKL tertakluk kepada peruntukan undang-undang berasingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×