PASIR PUTEH: Pencerobohan bot-bot bersaiz besar di luar zon penangkapan ikan yang ditetapkan berisiko menjejaskan sumber laut dan kelangsungan hidup nelayan kecil di perairan Kelantan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, sebarang aktiviti menangkap ikan di luar zon yang dibenarkan adalah kesalahan di bawah Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen apabila bot nelayan beroperasi di bawah 15 batu nautika tanpa kebenaran.
Katanya, setakat ini, tiada kes pencerobohan zon penangkapan berlaku di perairan Kelantan, namun terdapat kes terpencil melibatkan bot Zon C memasuki kawasan Zon B dan A.
“Keadaan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan nelayan pesisir pantai kerana bot Zon A bersaiz kecil dan bergantung sepenuhnya kepada hasil di kawasan pantai.
“Jika bot lebih besar menceroboh, hasil tangkapan nelayan kecil terjejas. Zon tangkapan ikan ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia bagi memastikan keseimbangan ekosistem marin, selain melindungi kepentingan nelayan pantai yang menggunakan bot kecil dan peralatan tradisional,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia di Tok Bali di sini hari ini.
Erwan Shah berkata, pembahagian zon tersebut bagi mengelakkan eksploitasi berlebihan sumber perikanan, melindungi unjang dan tukun ikan daripada rosak akibat pukat tunda.
Katanya, langkah itu bagi menjamin pendapatan nelayan kecil yang bergantung kepada kawasan pantai dan mengawal penggunaan alat tangkapan mengikut kesesuaian zon.
“Penggunaan pukat tunda di zon tidak dibenarkan boleh merosakkan unjang dan habitat ikan sekali gus memberi kesan jangka panjang kepada hasil laut.
“Maritim Malaysia tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap bot nelayan yang melanggar peraturan zon termasuk pendakwaan di bawah Akta Perikanan 1985,” ujarnya. – UTUSAN











