KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga akok tradisional Terengganu dari Kampung Baru Serada, di sini meletakkan produk jualannya di gerai tanpa jurujual.
Dia hanya berharapkan kejujuran pelanggan membuat bayaran serta bertawakal kepada rezeki.
Wan Jusoh Wan Ngah, 64, berkata, sejak setahun lalu dia mengamalkan konsep pandu lalu bagi jualan akoknya tanpa perlu menjaga gerai sepanjang masa.
Katanya, dia menyediakan tabung bayaran tunai selain kemudahan pembayaran tanpa wang tunai melalui kod respons pantas (QR).
“Saya hanya tawakal, letak kepercayaan kepada kejujuran pelanggan dan tidak pernah mengira berapa wang yang ada di dalam tabung.
“Jika ada pelanggan yang tidak membayar, saya anggap itu sebagai sedekah. Mungkin dia teringin makan akok tetapi tidak mampu.
“Kalau hendak ikutkan, pencuri pun apalah sangat dengan harga RM5 sebungkus akok yang saya jual,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Wan Jusoh berkata, dia ke gerai seawal pukul 8 pagi untuk membakar akok sebelum menyusunnya dengan kemas di gerai berkenaan.
Katanya, kebiasaannya lebih 100 biji akok dapat disiapkan setiap hari sebelum pulang ke rumah.
“Selesai membakar dan membungkus, saya susun akok elok-elok supaya pelanggan mudah membelinya secara pandu lalu sebelum pulang,” katanya.
Katanya, sebagai pembuat akok berpengalaman, proses penyediaan akok tradisional Terengganu berbeza apabila adunan perlu dibiarkan selama kira-kira empat jam sebelum dibakar.
“Dahulu, akok adalah pemanis mulut yang wajib ada dalam majlis akad nikah untuk dinikmati para tetamu,” katanya.-UTUSAN.










