PASIR SALAK: Lebih 300 orang terdiri daripada pekerja Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seberang Perak dan penduduk Kampung Sungai Pari memeriahkan penganjuran sukan bendang yang berlangsung meriah di lot pertanian Seberang Perak di sini kelmarin.
Program julung kali diadakan itu dilihat mengimbau kembali nostalgia masyarakat pesawah dahulu yang sinonim dengan aktiviti di bendang.
Sebanyak lapan acara dipertandingkan antaranya lumba lari dalam lumpur, lumba lari ikat kaki, lumba lari membawa telur serta acara tangkap itik dalam lumpur.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Seberang Perak, Mohd. Zamnuri Abidin berkata, penganjuran sukan bendang bertujuan mengeratkan hubungan antara ahli PPK, Ahli Jemaah Pengarah, pihak pengurusan serta kakitangan PPK.
Menurutnya, program separuh hari yang diadakan di kawasan sawah itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung khususnya golongan remaja.
“Acara sebegini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan sesama warga kerja dan ahli PPK, selain membantu membendung gejala tidak sihat dalam kalangan remaja.
“Sambutan yang amat menggalakkan membuktikan aktiviti masyarakat pesawah ini masih mendapat tempat walaupun semakin dilupakan.
“Kami bercadang menjadikannya sebagai program tahunan bagi menghidupkan kembali semangat dan budaya warisan,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Sungai Buaya, Mat Saab Mat Tuming, 73, berkata, penganjuran sukan bendang mengembalikan nostalgia ketika masyarakat dahulu bergotong-royong menjalankan aktiviti bersawah.
Katanya, penduduk beramai-ramai hadir memeriahkan acara tersebut semata-mata untuk berseronok dan mengeratkan silaturahim.
“Sukan bendang sangat menyeronokkan dan unik kerana hanya boleh diadakan di bendang.
“Pada masa dahulu, aktiviti seperti ini mampu mengeratkan hubungan sesama penduduk.Walaupun tidak menyertai acara, menonton pun sudah cukup menghiburkan.
“Sambil bersukan, kita dapat mengeratkan ukhuwah dan menghidupkan kembali budaya warisan,” katanya.-UTUSAN.










