PETALING JAYA: Kegiatan mengambil untung membabitkan kaunter produk pengguna dan perkhidmatan, teknologi
serta logistik mengheret turun urus niaga Bursa Malaysia.
Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meneruskan trend menyusut apabila ditutup pada 1,579.90
mata, jatuh 1.58 mata daripada kelmarin. Kelmarin Bursa susut 6.48 mata kepada 1,581.48 mata daripada 1,587.96 mata hari sebelumnya.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim berkata, faktor utama berlakunya penurunan itu adalah ramai pelabur khuatir mengenai kadar inflasi Amerika Syarikat yang akan diumumkan.
“Jika kadar inflasi tumbuh dengan tinggi, kerajaan AS perlu mengimplementasikan kadar monetari yang lebih ketat lalu mengurangkan pakej rangsangan ekonomi kepada rakyat mereka.
“Dari segi domestik pula, perjumpaan ahli politik dengan Yang di-Pertuan Agong pada minggu ini menimbulkan tanda
tanya kepada para pelabur jika terdapat perubahan dalam kepimpinan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, pasaran indeks FBM KLCI akan berdagang dalam julat yang kecil dari 1,570 hingga 1,590 mata pada hari-hari yang akan datang memandangkan tidak ada pemangkin yang besar untuk mengubah momentum pasaran ekuiti Malaysia.
Dari segi kaunter, Adam memberitahu, setakat ini kaunter perbankan adalah antara kaunter yang menguntungkan.
Ujarnya, kaunter tersebut dijangka menjadi fokus para pelabur berikutan jangkaan ekonomi untuk pulih dilihat semakin cerah terutamanya dengan program vaksinasi negara yang semakin rancak.
“Kaunter-kaunter perbankan kebiasaannya merupakan proksi kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya. – UTUSAN










