Apabila ChatGPT mampu ganti profesor serba tahu

Apabila ChatGPT mampu ganti profesor serba tahu sepanjang masa

Aplikasi ChatGPT membolehkan komunikasi manusia dan mesin.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini kita jangan terperanjat jika banyak persoalan dapat dijawab dengan mudah dan pantas. Dalam sekelip mata atau sepantas beberapa saat banyak tugasan penulisan dapat diselesaikan dan sempurnakan tidak kira tahap pemikiran dan pendidikan tukang tulisnya.

Inilah zaman moden, apabila banyak teknologi pelbagai wajah dan kegunaan muncul. Paling popular dan digunakan oleh ramai orang ketika ini ialah teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ada pendapat pro dan kontra mengenainya.

Bagi yang malas berfikir, kemunculan teknologi tersebut ibarat pucuk dicita ulam mendatang atau orang mengantuk disorongkan bantal tanpa perlu memikirkan risiko jangka panjang.

“Alaaa. guna sahaja lah, itukan satu kemudahan,” ujar individu sedemikian yang sudah taksub kepada aplikasi yang dikenali sebagai Chat GPT.

ChatGPT ialah program kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh OpenAI untuk berbual, menjawab soalan, dan membantu pelbagai tugasan menggunakan bahasa semula jadi (seperti manusia bercakap) ChatGPT dihasilkan dan dilancarkan 30 November 2022.

Mengapa teknologi ini penting dan apa fungsinya? Teknologi adalah mesin yang membantu manusia.

Seorang pakar teknologi daripada Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM) Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Razzaq yang juga Timbalan Naib

Canselor Hal Ehwal Pelajar universiti berkenaan berkongsi kepada saya pandangannya secara mudah apabila menghuraikan apa itu AI dan ChatGPT.

Kata beliau, AI ialah satu bidang sains komputer yang luas, manakala ChatGPT hanyalah salah satu produk atau aplikasi bidang AI.

Kata beliau, AI konsep besar sebuah mesin simulasi kebijaksanaan manusia, sedangkan ChatGPT merujuk kepada Generative (menjana teks idea dan jawapan), Pre-trained ( dilatih awal dengan data besar) dan Transformer (seni bina AI untuk faham konteks bahasa.)

Chat merujuk kepada komunikasi dua hala yang berlaku secara teks, suara dan masa nyata. Tetapi dalam konteks Chat GPT, ia melibatkan perbualan antara manusia dan mesin.

“AI itu macam kenderaan, ChatGPT pula model kereta Proton,” ungkapnya mudah.

ChatGPT dibangunkan oleh OpenAI sebagai aplikasi perbualan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Banyak pihak memberi pandangan bernas terhadap kepentingan aplikasi tersebut dan tidak kurang yang agak skeptikal terhadapnya.

Prof. Madya Dr. Aznul Qalid Md. Sabri daripada Universiti Malaya bersetuju kemunculan aplikasi tersebut banyak membantu dalam urusan penulisan dan pertanyaan tentang sebarang maklumat tanpa had.

“Dalam kalangan pelajar dan staf akademik, kecenderungan penggunaan generative AI semakin “normal”. Ini termasuk bagi menjana idea awal, meringkaskan bahan pembacaan, menyusun struktur penulisan, sehinggalah mengemas kini tatabahasa. Ini adalah manfaat besar dari

segi produktiviti, tetapi risikonya adalah kebergantungan yang melampau, hujah jadi “rata”, pemikiran kritis berkurang, dan wujud kemungkinan rujukan atau fakta yang tidak tepat (termasuk rujukan yang direka kerana “halusinasi AI”,’ ujarnya.

Meski pun begitu, kata beliau, teknologi tersebut wajar diterima secara positif kerana ia adalah “kalkulator AI” yang tidak boleh diabaikan, tetapi mestilah digunakan untuk menambah baik kreativiti, tetapi bukan menggantikannya.

Prinsipnya mudah kata Aznul Qalid, iaitu AI membantu manakala, manusia memimpin.

“Seperti yang ditekankan dalam garis panduan penerbit besar seperti Elsevier, AI tidak boleh menjadi pengganti pemikiran kritis, penulis tetap bertanggungjawab sepenuhnya, perlu menyemak ketepatan, mengesahkan sumber, serta memastikan karya mencerminkan

sumbangan dan analisis autentik mereka,” ujarnya.

Pesan beliau lagi, dalam konteks integriti akademik, pendekatan yang sihat adalah “guna dengan telus dan beretika”, nyatakan penggunaan

AI apabila relevan (sesetengah penerbit mensyaratkan deklarasi penggunaan AI dalam proses penulisan), jangan sekali-kali meletakkan AI sebagai penulis bersama, dan kekal peka terhadap isu privasi serta hak cipta. Jika universiti membimbing pelajar dan staf dengan literasi AI yang betul, generative AI boleh menjadi pemangkini, bukannya ancaman kepada kreativiti. Beberapa pemimpin institusi pengajian tinggi tempatan (IPTA) juga mengakui ChatGPT sudah menjadi sebati dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk pendidikan.

“Kita sudah tidak boleh larang penggunaannya, tetapi perlu (guna) dengan bijak,” ujar Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Ahmad Farhan Saadullah.

Beliau justeru mengingatkan pelajar UPM bahawa mereka masih tertakluk kepada peraturan sedia ada yang melibatkan kesalahan etika akademik dan ada kaedah untuk mengenal pasti penggunaan terus daripada ChatGPT kerana budaya memberi sumber rujukan adalah sebahagian dari etika penulisan akademik.

UPM juga kata beliau, menggunakan motonya “Berilmu Berbakti” untuk memberi peringatan kepada semua pelajar atas tanggungjawab mereka untuk menuntut ilmu secara berkesan supaya akhirnya mereka melalui pengalaman pembelajaran dan kehidupan terbaik supaya mereka mempunyai atribut yang unggul dan sesuai untuk berbakti.

“Komitmen ini perkukuhkan kerangka strategik true north UPM yang bertekad memberikan pengalaman pembelajaran dan kehidupan terbaik untuk semua pelajar,” ujarnya.

Bagi Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof. Dr. Zamri Ibrahim, beliau melihat isu ChatGPT di UMT daripada dua sudut iaitu sebagai alat pemangkin inovasi dan sebagai cabaran integriti.

“Pada tahun 2026 ini UMT memberi penekanan dalam mengawal selia penggunaannya secara beretika,” ujarnya.
UMT kata beliau, mengambil langkah proaktif melalui pengenalan Program Kecerdasan Buatan dan pendigitalan. Bermula Oktober tahun lalu, modul AI telah diwajibkan kepada semua pelajar sebagai kursus sebelum bergraduasi.

Beliau secara tegas mengingatkan, anggap ChatGPT sebagai rakan perbincangan bukan ‘penulis upahan’. “Gunakan ia untuk faham konsep yang susah atau mencari idea tajuk tetapi jangan sesekali copy paste bulat-bulat.

“ChatGPT kadangkala mengalami ‘halusinasi’ memberi fakta atau rujukan palsu. Sebagai warga universiti yang pakar pelbagai bidang, pelajar perlu menyemak setiap fakta dengan sumber primer,” ujarnya.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia yang juga Anggota Majlis Penasihat Pengguna Negara, Siraj Jalil mengakui penulisan akademik dan media sebagai satu tugasan yang perlu diselesaikan segera dan ChatGPT adalah penyelesaiannya.

Saya memetik lagi peringatan Rasid bahawa ChatGPT ialah alat sokongan, bukan pengganti manusia.

Beliau membayangkan antara risiko terlalu bergantung kepada ChatGPT menyebabkan tabiat malas berfikir dalam kalangan pelajar manakala kemahiran pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah secara manual akan menurun.

Selain itu katanya, kemerosotan kemahiran asas (menulis, menganalisis sendiri) dan menyebabkan risiko keselamatan dan privasi data.

“Manusia kehilangan sentuhan contohnya bidang penulisan kreatif kerana keaslian dan emosi manusia itu yang tinggi harganya,” ujar beliau.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr. Hazami Jahari pula mengingatkan, penggunaan ChatGPT dalam penulisan kreatif seperti puisi dan cerpen akan menghilang roh penulisan itu kerana ia bukan datang daripada sanubari penulis sebaliknya dijana daripada mesin yang diarahkan berbuat demikian.

Siapa sebenar pengguna ChatGPT ini kerana menurut Rasid lagi ia dianggap antara aplikasi paling pantas berkembang dalam sejarah.

“Data menunjukkan sehingga awal 2026 pengguna ChatGPT aktif secara mingguan dianggarkan antara 700 hingga 800 juta pengguna dan bakal mencecah 1 bilion dalam tempoh terdekat,” ujarnya. ChatGPT sudah menjadi pengganti manusia, sebagai profesor serba tahu mungkin juga ustaz? –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×