Persaraan bukan penamat buat Fatehah

Persaraan bukan penamat buat Fatehah

FATEHAH Mustafa mahu kejayaannya dalam sukan berbasikal menjadi sumber inspirasi melahirkan lebih ramai jaguh. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA hampir dua dekad Fatehah Mustapa bukan sekadar berlumba basikal, malah ikon dan antara atlet paling berpengaruh dalam sejarah sukan berbasikal trek wanita Malaysia.

Dengan pengalaman 17 tahun mengabdikan diri berkayuh atas trek serta 11 tahun berkelana di Melbourne, Fatehah, 37, pelbagai pengalaman dilaluinya termasuk mencipta sejarah menjadi pelumba wanita pertama negara beraksi di pentas Olimpik, bermula di Olimpik London 2012 dalam acara keirin sebelum menggalas cabaran negara dalam acara pecut di Olimpik Rio 2016.

Pencapaiannya tidak terhenti di situ tetapi aksi bertenaga anak jati Terengganu ini turut mencuri tumpuan apabila meraih pingat gangsa acara pecut di Sukan Komanwel Glasgow selepas tewas kepada pelumba Britain, Jass Varnish.

Lebih membanggakan, Fatehah pernah dinobatkan sebagai juara Asia sejurus meraih pingat emas acara pecut di New Delhi pada 2013.

Sepanjang penglibatannya sebagai atlet kebangsaan, beliau mencatat pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa sekali gus meletakkan Malaysia di peta dunia dalam acara berbasikal trek wanita.

Rekod serta pencapaian yang dilakar bukan sahaja mencerminkan keupayaan dan disiplin tinggi beliau sebagai atlet, malah berperanan besar dalam menaikkan imej serta profil sukan berbasikal trek negara.

Namun, persaraan sebagai atlet bukanlah penamat kepada sumbangan Fatehah terhadap sukan yang menjulang namanya itu. Sebaliknya, ia membuka lembaran baharu apabila beliau memilih untuk terus berbakti sebagai jurulatih.

Mengimbau kembali keputusan bersara, Fatehah mengakui ia bukan perancangan awal dalam kerjayanya. Ketika itu, usianya 32 tahun dan tahap kecergasannya masih membolehkannya kekal bersaing di peringkat elit.

“Jika diikutkan, saya masih mampu berlumba dan belum puas berkayuh. Tetapi beberapa isu yang timbul memaksa saya membuat keputusan untuk bersara,” katanya.

Keputusan tersebut tidak pernah dikesali Fatehah. Malah, beliau berbangga apabila melihat pelapis muda kini meneruskan legasinya, termasuk pelumba yang pernah dilatih sendiri olehnya.

“Pengalaman sebagai atlet sangat membantu saya dalam peranan sebagai jurulatih. Saya faham apa yang dilalui atlet sama ada dari segi fizikal, mental mahupun tekanan ketika membawa nama negara,” katanya.

Menyingkap perjalanan selama 17 tahun sebagai atlet, Fatehah mengakui berdepan pelbagai cabaran termasuk tuntutan latihan berintensiti tinggi, kecederaan serta tekanan mental ketika memikul harapan negara di pentas antarabangsa.

Pengalaman tersebut membentuk kematangan dan memberi kefahaman mendalam tentang realiti kehidupan seorang atlet profesional, sekali gus menjadi bekalan penting dalam kerjaya kejurulatihannya hari ini.

Selepas bersara enam tahun lalu, Fatehah tidak mengambil masa lama untuk kembali ke persekitaran yang sudah sebati dengannya. Beliau memilih haluan kejurulatihan dengan memberi fokus kepada pembangunan pelumba muda, khususnya dalam acara trek yang menuntut ketepatan teknik, kekuatan fizikal dan ketahanan mental yang tinggi.

Katanya, peralihan daripada atlet kepada jurulatih memerlukan perubahan perspektif, namun pengalaman berada di dalam perlumbaan memberi kelebihan besar dalam memahami keperluan sebenar atlet.

“Saya bermula sebagai jurulatih di Majlis Sukan Negara (MSN) selama tiga tahun sebelum bertukar ke MSN Terengganu. Sudah sampai masanya saya menabur bakti di negeri kelahiran,” katanya.

Menurut Fatehah, ketika berada di MSN Terengganu, beliau bermula dari bawah dan banyak menerima bimbingan daripada Ketua Jurulatih Sukan Berbasikal Negeri Terengganu, Syed Mohd. Husaini Syed Mazlan.

“Saya berpengalaman sebagai pelumba sebelum ini, tetapi sebagai jurulatih saya masih memerlukan bimbingan terutama dalam melatih pelapis berbasikal lebuh raya kerana kepakaran saya lebih tertumpu kepada acara trek,” katanya.

Dalam pendekatan kejurulatihan, Fatehah memberi penekanan terhadap pembentukan mental dan sikap profesional, selari dengan keperluan sukan berbasikal moden yang semakin kompetitif.

Baginya, kejayaan sebenar tidak hanya diukur melalui keputusan perlumbaan semata-mata, sebaliknya sejauh mana atlet bimbingannya mampu berkembang secara menyeluruh dan bersedia menghadapi cabaran di peringkat lebih tinggi.

Kini, Fatehah terus memainkan peranan penting di sebalik tabir, berdiri di tepi velodrom sebagai pembimbing dan pemudah cara kepada generasi baharu pelumba negara.

Menurutnya, pasukan berbasikal Terengganu antara yang konsisten meraih kejayaan apabila hampir setiap penyertaan membawa pulang pingat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×