PETALING JAYA: Gara-gara terlalu takut untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, seorang warga emas berusia 74 tahun terbaca doa makan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Kamariah Lanjong ditemani anak bongsunya, Fadilah Johari semasa menerima suntikan vaksin AstraZeneca pada pukul 7 malam kelmarin.
Menurut Fadilah yang tinggal di Kampung Pandan, ibunya sering dimomok-momokkan oleh cerita jiran yang mendakwa jarum yang digunakan sangat besar.
Oleh yang demikian, ibunya yang mempunyai kesedaran sendiri untuk menerima suntikan vaksin berasa sedikit cemas.
“Selepas mengisi borang dan melakukan pemeriksaan kesihatan, ibu saya memaklumkan dia berasa berdebar-debar sampai terkeluar daripada mulutnya membaca doa makan sehingga jururawat dan orang sekeliling tertawa.
“Saya cuba tenangkan ibu dan memberitahu suntikan hanya seperti gigitan semut. Alhamdulillah, proses suntikan berjalan seperti biasa dan sehingga sekarang ibu saya tidak mengalami sebarang komplikasi walaupun menghidap kencing manis, darah tinggi dan kolesterol,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Fadilah memberitahu, ibunya merupakan individu pertama dalam keluarga mengambil vaksin kerana sembilan anak yang lain masih menunggu giliran penerimaan suntikan tersebut.
Katanya, dia juga amat berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh semua petugas yang membantu melancarkan urusan ibunya.- UTUSAN ONLINE










