Teroka padang pasir lagun Brazil dengan berkaki ayam

Teroka padang pasir lagun Brazil dengan berkaki ayam

Landskap Taman Negara Lençóis Maranhenses sentiasa berubah meliputi kawasan seluas 1,500 kilometer persegi. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENCOIS Maranhenses kelihatan seperti sebuah padang pasir, namun hakikatnya ia hidup dengan ratusan lagun berkilauan, kampung terpencil dan laluan purba yang hanya diketahui oleh pemandu tempatan.

Diapit oleh hutan hijau di satu sisi dan Lautan Atlantik di sisi lain, Lençóis Maranhenses merupakan antara ekosistem paling luar biasa di Brazil.

Mengimbas kembali kenangan indah di kawasan itu, seorang pengunjung, Carla Vianna berkata, detik itu sukar dilupakan.

“Di sekeliling kami terbentang bukit pasir putih bersih yang naik dan turun sejauh mata memandang, disulam kolam air kehijauan yang berkilau.

“Landskap itu tiada titik mula atau penghujung yang jelas. Namun selepas beberapa saat, pemandu kami seolah-olah yakin lalu meneruskan langkah, mengikuti laluan yang hanya dia mampu lihat,” kata Vianna menceritakan detik perjalanannya di kawasan unik itu.

Vianna dan tiga rakannya ketika itu sudah beberapa jam meredah trek tiga hari merentasi Taman Negara Lençóis Maranhenses, hamparan pasir luas di timur laut Brazil.

“Pada ketika itu, saya sudah hilang sepenuhnya arah. Saya berjalan dalam diam, hanya mendengar desiran angin, bunyi air beralun dan pasir di bawah kaki.

“Setiap langkah membuatkan kaki tenggelam beberapa sentimeter, memaksa otot bekerja dua kali ganda. Saya terus menukar selipar kepada kasut, sebelum akhirnya berkaki ayam apabila pasir berubah daripada lembut seperti bedak kepada permukaan keras yang membahang,” katanya.

Angin pantai yang kuat menolak pasir ke pedalaman, membentuk landskap seperti gurun seluas kira-kira 1,500 kilometer persegi, dengan bukit pasir setinggi 30 meter.

Namun Lençóis bukanlah padang pasir sebenar.

Semasa musim hujan antara Januari hingga Jun, hujan lebat memenuhi lembangan semula jadi di antara bukit pasir. Lapisan sedimen yang tidak telap menghalang air daripada menyerap, lalu membentuk ratusan lagun air tawar yang menjadi tarikan utama pengunjung untuk berenang dan berendam.

“Hari pertama kami bermula sejurus selepas matahari terbit. Pemandu kami, menetapkan rentak langkah yang konsisten sejak awal. Kami menuruni cerun pasir pertama dengan berhati-hati, menggunakan kaki sendiri seperti ‘ski sementara’, berusaha keras agar tidak menjadi orang pertama terjatuh.

“Dari bawah, bukit pasir kelihatan jauh lebih besar dengan lengkungan berbayang yang tampak mustahil untuk didaki. Kami melewati lagun-lagun luas yang kelihatan seperti sungai, malah terpaksa meredah beberapa daripadanya sambil mengangkat beg melepasi paras pinggang.

“Selepas lebih sejam, tibalah masa untuk terjunan pertama.Pemandu kami menunjuk ke sebuah lagun berbentuk seakan mangkuk, airnya begitu jernih seolah-olah digilap. Saya terus meluru tanpa mampu mengawal momentum dan terjun dengan percikan kuat,” katanya.

Kolam-kolam semulajadi itulah yang menjadikan Lençóis Maranhenses berbeza daripada mana-mana tempat lain di dunia.

Menurut pihak pengurusan taman, lebih 1,000 keluarga tinggal di dalam kawasan Lençóis Maranhenses.

Satu bancian dan pemetaan penuh baru-baru ini dilakukan bagi memahami keperluan setiap komuniti serta tahap kemampuan mereka menerima kehadiran pelawat yang semakin meningkat.

Usaha turut dilakukan dengan mendekati kampung-kampung secara langsung, berbincang bagaimana mereka boleh terlibat, serta membantu menetapkan piawaian bagi penginapan dan hentian rehat yang diuruskan penduduk tempatan di tengah-tengah bukit pasir.

“Untuk benar-benar mengenali persekitaran unik ini, tiada cara yang lebih baik selain berjalan kaki. Dengan berjalan, kita dapat melihat perkara kecil, pergerakan pasir, jejak burung dan haiwan, serta kesan yang mereka tinggalkan,” kata seorang pegawai taman.

Pendekatan inilah yang membantu Lençóis Maranhenses diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada 2024 dan mula meraih perhatian global kini.

Statistik tahun lalu menunjukkan Lençóis Maranhenses mencatat 580,000 pengunjung.

Taman itu kini antara destinasi paling popular di Brazil dalam kalangan pelancong antarabangsa, menduduki tempat keempat pada 2024 selepas Sugarloaf Mountain, Patung Christ the Redeemer dan Air Terjun Iguazu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×