PERIKATAN Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah mencipta fenomena politik paling signifikan dalam landskap politik Malaysia.
Mula dibentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pakatan ini secara rasmi lahir pada tahun 2020, ekoran krisis politik yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang pertama.
Gabungan yang diterajui oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas serta disertai beberapa parti lain termasuk Gerakan yang mewakili kaum Cina adalah alternatif kepada Barisan Nasional (BN) dan PH.
Cemerlang pada PRU15 dengan menguasai empat negeri yang nyaris dapat membentuk kerajaan Persekutuan, PN kini kelihatan longlai akibat pertikaian dalaman parti komponen dan isu pucuk pimpinan.
Sehinggakan peranannya sebagai pembangkang di Dewan Rakyat dikritik kerana ribut dalam cawan yang sudah memakan masa lebih sebulan. Dan hingga kini PN seolah-olah tidak ada pemimpin apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Pengerusi.
Pas yang berkali-kali mengatakan mereka akan menerajui PN kerana itu keputusan Muktamar di Alor Setar tahun lalu, hingga kini gagal menamakan calon untuk jawatan itu.
Maka timbul persoalan dalam kalangan kawan dan lawan, apakah hala tuju sebenar PN ketika ini? Sejauh mana ia masih relevan sebagai gabungan nasional?
Dari gabungan sementara ke Kerajaan Persekutuan
Kemunculan PN untuk membentuk kerajaan Persekutuan bermula pada Mac 2020 di bawah kepimpinan Muhyiddin.
Peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri menyebabkan Bersatu yang bersama PH membentuk kerajaan itu menarik diri lalu membentuk PN bersama Pas dan UMNO. Ia terbentuk bukan melalui mandat pilihan raya, tetapi melalui penyusunan semula sokongan Ahli Parlimen. Keadaan ini menjadikan PN sering dilabel sebagai kerajaan “rapuh” dan “sementara”, meskipun ia berjaya mentadbir negara ketika krisis besar seperti pandemik Covid-19.
Walau bagaimanapun, ketidakstabilan politik dalaman, perebutan sokongan, dan tekanan daripada parti-parti terutama UMNO/BN menyebabkan Muhyiddin terpaksa menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada tahun 2021.
Kemudian apabila Ismail Sabri mengumumkan PRU15, BN mengambil keputusan keluar daripada pakatan itu kerana enggan bekerja sama dengan Bersatu. Hasilnya, ketika BN kehilangan banyak kerusi, PN berada dalam posisi yang cukup baik untuk berunding dengan parti lain bagi membentuk kerajaan.
Tetapi disebabkan mereka menolak usul Kerajaan Perpaduan bersama PH, maka PN menjadi antara pembangkang yang terkuat di Parlimen.
Dominasi Pas dan Kemerosotan Bersatu
Namun sejak akhir-akhir ini pakatan dalam PN kelihatan longgar apabila dua parti utama iaitu Bersatu dan Pas kerap mengeluarkan kenyataan yang bercanggah.
Pelbagai isu timbul seperti keputusan Muktamar yang mahu Pas menerajui pakatan itu, diikuti dengan tindakan Muhyiddin melepaskan jawatan Pengerusi dan seterusnya kemelut politik dan Perlis yang menyaksikan Pas dan Bersatu membawa haluan masing-masing di negeri itu.
Ada yang mengatakan ego Pas menjadi punca kepada keretakan dalam pakatan itu. Penganalisis melihat, Muktamar di Alor Setar seolah-olah menyedarkan parti itu bahawa sebenarnya mereka parti paling berpengaruh dalam gabungan tersebut.
Alasannya, Pas bukan sahaja menguasai lebih banyak kerusi Parlimen, malah mempunyai jentera parti yang kukuh, disiplin organisasi yang tinggi, dan sokongan akar umbi yang konsisten.
Sebaliknya, Bersatu pula bergelut dengan isu kepimpinan, kehilangan ahli Parlimen, dan tindakan undang-undang terhadap tokoh utamanya.
Keadaan ini mewujudkan ketidakseimbangan kuasa dalam PN dan menimbulkan persoalan sama ada PN masih sebuah gabungan setara, atau sekadar pakatan yang digerakkan oleh kekuatan Pas.
Ketidakseimbangan ini juga memberi kesan kepada hala tuju dasar PN, yang semakin dilihat cenderung kepada pendekatan konservatif dan keagamaan, selari dengan ideologi Pas.
Naratif Politik dan Kekangan Dasar
Semua orang tahu Pas dan Bersatu mempunyai latar ideologi, sejarah dan budaya politik yang berbeza. Pas adalah parti lama dengan akar umbi kukuh dan struktur dalaman yang mantap.
Sementara Bersatu adalah parti relatif baharu yang banyak bergantung kepada personaliti kepimpinan yang disingkirkan oleh UMNO.
Apabila berlaku pertelingkahan—contohnya isu pembahagian kerusi, kepimpinan negeri, atau penentuan calon pengerusi —PN dilihat kehilangan kesepaduan sebagai satu gabungan politik.
Ketidakselarasan ini melemahkan keupayaan PN untuk membuat keputusan strategik secara kolektif dan konsisten, terutamanya menjelang pilihan raya umum yang akan datang.
Kena ingat bahawa salah satu kekuatan PN adalah imejnya sebagai pakatan yang “bersatu” memperjuangkan kepentingan Melayu-Islam. Pertelingkahan antara Pas dan Bersatu ini hanya merosakkan naratif tersebut.
Malah ia menimbulkan persepsi bahawa PN tidak berbeza dengan gabungan lain yang sarat dengan perebutan kuasa.
Bagi pengundi Melayu, khususnya di kawasan luar bandar, konflik dalaman boleh menimbulkan kekeliruan tentang kepemimpinan sebenar PN.
Bagi pengundi atas pagar dan pengundi muda pula, pertelingkahan ini mengukuhkan persepsi bahawa PN lebih menumpukan politik dalaman berbanding penyelesaian masalah rakyat atau menonjolkan pemimpin yang bersifat nasional untuk menerajui kepimpinan peringkat Persekutuan.
Diakui realitinya Pas berada pada kedudukan lebih dominan dalam PN. Sama ada daripada segi jumlah kerusi, penguasaan negeri, mahupun kekuatan organisasi. Tetapi dalam sesebuah pakatan politik mesti ada tolak ansur dan budi-bicara.
Andainya Bersatu mempunyai calon yang lebih sesuai untuk diketengahkan di pering nasional, Pas perlu akur. Selain itu, Pas juga tidak boleh mencampuri urusan Bersatu dalam menentukan barisan kepimpinan mereka, kerana itu adalah urusan ‘peribadi’ Bersatu dan bukannya urusan PN.
Pertelingkahan yang berpanjangan ini dilihat seolah-olah mempercepatkan proses meminggirkan Bersatu dalam PN.
Sekiranya Bersatu terus lemah, PN mungkin berubah daripada gabungan pelbagai parti kepada pakatan yang didominasi sepenuhnya oleh Pas. Ini sudah tentu mempunyai implikasi besar terhadap imej PN di peringkat nasional, khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan pengundi bandar.
Masa depan PN bergantung kepada beberapa faktor penting. Pertama, keupayaan mereka untuk menyelesaikan segala kemelut yang berlaku terutama isu pelantikan Pengerusi. Daripada situ gabungan ini perlu menjenamakan semula dirinya sebagai sebuah pakatan nasional yang inklusif, bukan sekadar mewakili kepentingan satu kelompok tertentu.
Untuk itu, hubungan dalaman antara Pas dan Bersatu perlu diurus dengan lebih seimbang bagi mengelakkan perpecahan atau ketegangan yang boleh melemahkan gabungan.
Jika semua gagal diselesaikan dikhuatiri rakyat akan melihat PN sebagai pakatan yang gagal untuk menawarkan dasar alternatif yang jelas dan praktikal sebaliknya lebih kepada perebutan kuasa bagi mengekalkan hegemoni dan status quo kumpulan tertentu.
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










