Agong berkenan menyempurnakan pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad

Agong berkenan menyempurnakan pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad

SULTAN Ibrahim menyempurnakan Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) Fasa 1 di Kuala Lumpur hari ini-GAMBAR/ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) Fasa 1, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda sekitar pukul 10 pagi tadi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Yang hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Majlis yang menjadi detik bersejarah itu dimulakan dengan persembahan Malaysian Philharmonic Youth Orchestra, bacaan doa diikuti ucapan menjunjung kasih oleh Perdana Menteri.

Upacara itu menjadi simbol pembukaan Blok 1 Kompleks BSAS selepas melalui proses konservasi dan pemeliharaan selama 11 bulan di bawah Program Dana Warisan Khazanah menerusi inisiatif Warisan Kuala Lumpur.

Blok 1 kompleks berkenaan menjadi fasa pertama siap dalam usaha pemulihan menyeluruh, dengan penekanan terhadap pemeliharaan statusnya sebagai Tapak Warisan Kebangsaan Kategori 1 selain penambahbaikan aspek keselamatan, akses dan pengalaman pengunjung.

Blok tersebut menawarkan pelbagai kemudahan termasuk galeri interaktif, pusat maklumat pelawat, ruang runcit berkonsep pengalaman, ruang acara serta kemudahan makanan dan minuman.

Ia akan dibuka kepada orang ramai pada 2 Februari ini, bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari, dengan kemasukan percuma ke Galeri Kuala Lumpur pada satu bulan pertama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×