PUTRAJAYA: Isu kos bina sebuah bilik darjah yang kini mencecah RM520,000 tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, biarpun ia tidak dibincangkan, kerajaan menegaskan isu prasarana tetap menjadi perkara penting yang perlu diselesaikan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah menyatakan bahawa hasrat pihak kerajaan adalah untuk memastikan bilik-bilik darjah ini dapat disediakan menggunakan sistem binaan berindustri (IBS).
“Tetapi kita akan susuli dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendapatkan sedikit pencerahan tentang isu ini. Namun (isu kos bina bilik darjah) tak dibincangkan dalam mesyuarat hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Media sebelum ini melaporkan kos anggaran pembinaan sebuah bilik darjah bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini meningkat sehingga sekali ganda berbanding tempoh lima tahun sebelumnya.
Peningkatan kos itu berpandukan kepada dokumen As Tendered Detailed Abstract (ATDA) yang disediakan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tempoh 10 tahun kebelakangan ini bagi menilai keseluruhan tender seperti kos, aktiviti kerja dari permulaan sehingga siap.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, berdasarkan ATDA dikeluarkan JKR, kos pembinaan sebuah bilik darjah antara 2016 hingga 2020 dianggarkan antara RM180,000 hingga RM250,000, manakala kos bagi tempoh 2021 hingga 2026 meningkat kepada RM280,000 hingga RM520,000 meliputi kos blok bangunan iaitu bilik darjah, tangga, koridor dan tandas.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri mahu Jemaah Menteri memberi perhatian serius dan sewajarnya terhadap isu integriti dan salah laku membabitkan badan-badan penguatkuasaan di negara ini.
Beliau berkata, Perdana Menteri juga menjelaskan tindakan sesetengah badan penguat kuasa itu dilihat sebagai tidak selari dengan harapan rakyat, sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap institusi.
“Beberapa tindakan yang telah diambil oleh badan-badan penguat kuasa menunjukkan mungkin terdapat beberapa sikap yang tidak begitu membantu.
“Keadaan ini (isu integriti dan rasuah) telah menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi (badan penguatkuasa),” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Jemaah Menteri menegaskan tidak akan masuk campur dalam setiap tindakan terhadap isu integriti membabitkan badan penguatkuasaan itu. – UTUSAN










